Data telefon mudah diperolehi, Saifuddin jawab dakwaan Azmin

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menafikan parti itu terlibat dalam membocorkan maklumat peribadi mengenai pemimpinnya kerana maklumat-maklumat itu mudah diperoleh.

Saifuddin berkata mendapatkan data sedemikian tidak sukar.

“Pada pemilihan parti yang lepas, misalnya, apabila calon-calon bertanding, usaha untuk mengumpul data-data asas itu satu pra-syarat dalam gerakan setiap jentera. Jadi, ia bukanlah suatu yg terlalu rahsia untuk tidak dimiliki oleh mana-mana pihak,” katanya.

Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, yang dituduh terlibat dalam skandal video seks, mempersoalkan bagaimana nombor telefon pemimpin parti dibocorkan.

Saifuddin berkata bukan tugasnya untuk menghebahkan maklumat parti kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, maklumat sedemikian boleh diperolehi dengan menghubungi individu-individu yang berkaitan, katanya.

“Tetapi untuk disebut apakah ini semacam ada penglibatan daripada ibu pejabat ibu pejabat parti, itu tidak berlaku sama sekali,” katanya selepas menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau menggesa Azmin supaya tabah dan bersabar dalam menghadapi ujian ini, sambil menambah parti itu memutuskan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patut menyiasat isu itu.

Pada Rabu, Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz berkata dia salah seorang daripada 2 lelaki dalam video seks, yang dikatakan dirakam di sebuah hotel di Sandakan bulan lepas.

Beliau menamakan Azmin sebagai pasangannya.

Azmin menafikan dakwaan itu dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Mengenai pertemuan hari ini, Saifuddin berkata Anwar menerangkan perkembangan terkini isu-isu semasa.

Anwar juga menggesa pimpinan parti menjaga disiplin dan tidak gopoh dan tergesa-gesa terhadap isu yang berlaku sekarang.