Doktor sokong perlindungan kesihatan sejagat

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Mohamed Namazie Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan perubatan dan penjagaan kesihatan telah menandatangani satu perisytiharan menyokong perlindungan kesihatan sejagat untuk semua orang, termasuk pendatang tanpa izin serta pelarian.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan persatuan perubatan lain menandatangani Deklarasi Titiwangsa petang semalam menyokong Kementerian Kesihatan yang baru-baru ini memaklumkan bahawa ia akan berkerja ke arah pencapaian perlindungan kesihatan sejagat.

Langkah itu selari dengan satu perjanjian antarabangsa yang ditandatangani pada 2018 dan dinamakan Deklarasi Astana.

Presiden MMA, Dr Mohamed Namazie Ibrahim memberitahu pemberita bahawa penanda tangan Deklarasi Astana dikehendaki membuat keputusan kritikal, yang turut merangkumi reformasi sistem kewangan kesihatan.

Mei lepas, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, Malaysia akan memberi fokus kepada pelaksanaan program penjagaan kesihatan lebih baik bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit dan kes kesihatan mental.

Namazie berkata, penjagaan kesihatan untuk pendatang tanpa izin dan pelarian adalah penting.

“Kita bertanggungjawab menjaga mereka walaupun mereka masuk ke negara ini secara haram, apatah lagi jika mereka pelarian.

“Kesihatan mereka boleh memberi kesan ke atas kesihatan rakyat Malaysia. Peningkatan kes penyakit batuk kering (TB) merupakan petunjuk bagi masalah ini,” katanya.

Beliau berkata, penjagaan kesihatan asas dan khidmat doktor keluarga merupakan batu asas ke arah pencapaian perlindungan kesihatan sejagat.

“Kita mahu kerajaan memainkan peranan utama di sini, iaitu memastikan kita mempunyai pengamal perubatan keluarga yang terlatih secukupnya, selain jumlahnya yang mencukupi,” tambah beliau.

Pengerusi jawatankuasa dasar kesihatan MMA, Dr Teoh Siang Chin menggesa kerajaan memastikan penggunaan sumber sedia ada dimaksimumkan.

Seorang pembentang pada satu forum awam, Dr Chua Hong Teck berkata, hasil cukai bakal memainkan peranan utama bagi membiayai perlindungan kesihatan sejagat. Kos bukan penghalang, “tetapi lebih merupakan isu pengagihan semula sumber. Sumber itu ada, ia hanya perlu diagihkan semula,” katanya.

Presiden Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Dr Abu Bakar Suleiman memberitahu pemberita bahawa semua pemegang taruh dalam sistem penjagaan kesihatan perlu mengambil bahagian.

Dalam tempoh 100 hari selepas pelancaran Deklarasi Titiwangsa, MMA akan berusaha meningkatkan kesedaran dan mengumpul maklumat daripada pemegang taruh berkaitan, sebelum mengumpulkan semua cadangan yang akan dikemukakan kepada kementerian.