Hotel dinamakan Haziq kunci mulut

Haziq Aziz meninggalkan IPD Dang Wangi selepas dilepaskan dengan jaminan polis hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Hotel di Sandakan yang dinamakan dalam video Haziq Aziz hari ini berkata ia sedang bekerjasama dengan siasatan pihak berkuasa, dan tidak boleh mengesahkan adakah seorang lelaki memasuki bilik yang didakwa diduduki seorang menteri pada 11 Mei.

FMT bertanya pada hotel itu adakah seorang lelaki bercermin mata gelap dan memakai “hoodie” memasuki bilik 2526 antara 1 pagi dan 2 pagi pada 11 Mei.

Hotel itu juga ditanya adakah ia akan beri rakaman CCTV hari itu bagi memudahkan siasatan polis atau atas permintaan media.

Dalam jawapannya kepada FMT, seorang jurucakap Hotel Four Points by Sheraton di Sandakan, Sabah malam tadi berkata:

“Kami sedar tentang laporan-laporan mutakjir ini berkaitan video yang didakwa melibatkan Haziq Abdul Aziz dan Azmin Ali. Pihak hotel sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan sepenuhnya menghormati privasi tetamu kami. Oleh itu, kami tidak boleh beri maklumat lanjut.”

Butiran dalam pertanyaan FMT itu diambil daripada tangkap layar perbualan chat yang tersebar selepas Haziq mendakwa mengadakan hubungan seks dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali semasa kempen pilihan raya kecil Sandakan.

Azmin sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu.

Haziq, seorang ketua Pemuda PKR Santubong, juga pegawai kepada seorang timbalan menteri. Dia sudah digantung tugas.

Dia ditahan polis pada Jumaat dan dilepaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.

Polis berkata Haziq sedang disiasat atas kesalahan seks dan pengedaran bahan lucah.