IDS harus hormati kehendak ketua menteri, kata bekas CEO

Bekas ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Johan Ariffin Samad. (Gambar fail)

KOTA KINABALU: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Johan Ariffin Samad berkata, badan itu sepatutnya menunggu keputusan ketua menteri sebelum mengumumkan penyingkiran beliau Jumaat lepas.

Johan menyuarakan rasa terkejut beliau berhubung pengumuman tersebut yang dibuat melalui satu kenyataan akhbar, dengan berkata, penyingkirannya adalah berlawanan dengan kehendak lembaga pengarah “yang menyokong dan mahu saya dikekalkan”.

Dalam satu pesanan WhatsApp kepada FMT, Johan berkata, penyingkiran beliau merupakan natijah pertelagahan yang berlaku dalam lembaga pengarah institut tersebut.

Johan berkata, beliau merupakan CEO IDS hanya selama 2 bulan, bukan 6 seperti dilaporkan, kerana bekas CEO, Hasnol Ayob merupakan “CEO substantif” sehingga 31 Mac.

Beliau berkata, kontrak perkhidmatannya ditamatkan oleh lembaga pengarah IDS pada 31 Mei dan mendakwa ia dibuat tanpa notis.

“Saya berjumpa ketua menteri 2 kali selepas berita mengenai pertelagahan lembaga pengarah itu diketahui umum.

“Pada pertemuan terakhir pada 12 Jun, saya dipanggil ke pejabatnya dan ketua menteri berkata, beliau memerlukan lebih banyak masa bagi menyelesaikan masalah itu.

“Saya hormati kehendak ketua menteri sebagai ketua eksekutif negeri dan IDS sepatutnya mengambil langkah sama kerana pelantikan saya dipersetujui dan diluluskan oleh beliau.

“Penyingkiran saya sebagai CEO juga bertentangan dengan kehendak lembaga pengarah yang menyokong dan mahu saya dikekalkan,” katanya.

Pada 29 Mei, sehari sebelum cuti panjang hujung minggu bersempena Pesta Menuai, lembaga pengarah IDS mengundi 6-5 untuk tidak mengesahkan pelantikan Johan sebagai CEO.

Johan berjumpa Ketua Menteri Shafie Apdal pada 3 Jun dan diberitahu supaya kekal di jawatan itu sehingga masalah tersebut ditangani.

Menurut laporan, paling baru Rabu lepas, Shafie berkata, isu itu masih dibincangkan dan beliau berharap untuk berjumpa pengarah bukan eksekutif IDS Simon Sipaun untuk mendengar pandangannya.

Tidak diketahui sama ada Simon ada berjumpa Shafie sebelum pengumuman dibuat, tetapi beliau sebelum ini memberitahu FMT bahawa keputusan telah dibuat oleh lembaga pengarah IDS.

Berhubung dakwaan salah pengurusan dan kerugian kewangan IDS sejak 2016 yang dilaporkan oleh akhbar arus perdana dan media sosial, Johan percaya ia sebaiknya dijawab oleh Hasnol dan Simon.

Katanya, beliau juga dilarang memasuki pejabat bagi mendapatkan barang peribadi miliknya.

Justeru kata Johan, beliau kini meneroka semua jalan bagi menangani keadaan tersebut dan melindungi nama baiknya.

Dalam pengumuman yang dibuat, Simon berkata, satu surat telah dihantar kepada Shafie pada 3 Jun yang memaklumkan tentang keputusan lembaga pengarah.

Beliau juga berkata, timbalan CEO, Anthony Kiob adalah bertanggungjawab ke atas aktiviti semasa IDS.