Proses ambil alih tanah persendirian terlibat ECRL bermula tahun depan, kata Loke

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, sebaik pelan jajaran ECRL dimuktamadkan kerajaan akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan mengadakan sesi penerangan awam.

JELEBU: Kerajaan dijangka memulakan proses pengambilan tanah yang terlibat dengan pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bermula tahun depan dan menjamin pemiliknya akan diberikan pampasan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun ia akan ditentukan selepas pelan jajaran projek mega itu dimuktamadkan tahun ini sebelum dijangka memulakan proses pengambilan tanah tahun depan.

“Saya tidak mahu timbul isu atau ada spekulasi berkaitan pengambilan tanah supaya projek pembangunan ini dapat dilakukan dengan lancar.

“Kita belum putuskan lagi jumlah keluasan tanah yang diperlukan atau di mana lokasi stesen ini akan dibina, tetapi yang pastinya akan ada satu stesen dibina dalam daerah Jelebu,” katanya dalam ucapan pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di sini, hari ini.

Loke yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu dan ahli Parlimen Seremban berkata, sebaik pelan jajaran ECRL dimuktamadkan, kerajaan akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan mengadakan sesi penerangan awam.

Beliau yakin projek ECRL mampu menarik minat pelabur untuk membangunkan kawasan perindustrian di Jelebu, justeru membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, kurang RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang- Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.