Kongsi minat… Bapa latih anak umur setahun daki gunung

Lazimnya masyarakat akan lebih mengingati hari ibu berbanding hari bapa, namun kedua-duanya perlu diraikan kerana mereka adalah insan paling penting dalam hidup anak-anak.

Bila bercakap tentang hari ibu, pelbagai hadiah dan kejutan terlintas dalam hati ingin dilakukan bagi menggembirakan hati yang tersayang, tetapi apa pula hadiah yang sesuai untuk hari bapa?

Pasti tidak banyak yang terlintas dalam fikiran, kerana sememangnya bapa adalah insan yang memikul tanggungjawab lebih untuk menguruskan keluarga dalam mencari nafkah, supaya segala serba serbinya cukup untuk membesarkan anak mereka.

Pada seorang bapa, hadiah itu tidaklah besar mana ertinya, hanya cukup sekadar mengingati segala jasa dan pengorbanannya dan boleh berbakti pada hari tuanya nanti.

Bagi seorang ayah, Azraie Md Yusof memiliki karakter berbeza dimana beliau lebih menggemari aktiviti lasak sejak sekolah lagi, dan kini bila sudah berumahtangga, aktiviti tersebut turut dikongsi bersama anak dan isterinya.

Menjadikan ia berbeza dengan keluarga lain yang menganggap suatu perkara remeh, pada Azraie ia adalah suatu cabaran dengan harapan supaya anaknya mampu berdikari suatu hari nanti.

“Memiliki anak bukanlah penghalang untuk saya tidak meneruskan minat dalam aktiviti lasak. Malah dengan melibatkan anak-anak dalam perkara yang kita suka lakukan, ia menjadi lebih bermakna.

“Selain berkongsi minat dengan anak-anak, ia juga sebagai salah satu cara saya meluangkan masa dengan keluarga atau anak-anak. Dalam masa sama, saya dapat menerapkan sifat cintakan alam semula jadi pada mereka dan mendedahkan mereka dengan kemahiran survival,” katanya kepada FMT.

Hasil 8 tahun perkahwinannya bersama Nornatasha Mohd Noor, beliau memiliki 2 anak yang mempunyai maksud pada setiap nama iaitu Ayyar Sufi, iaitu pengembara sufi dan yang kedua pula ialah Nuh Affan bermaksud si pendaki.

Katanya setakat ini antara 20 lokasi yang pernah dilawati Sufi termasuk Bukit Broga, Semenyih, Bukit Saga, Ampang, Bukit Gasing, Petaling Jaya, Bukit Tabur, Hulu Klang, Sungai Pisang, Gombak, Lata Jerbus, Kuala Kubu Bharu, Jeram Kak Lang, Ulu Bendul, Lata Charok, Janda Baik, dan Lubuk Kawah, Tanjung Malim, Perak.

Bagi anak keduanya pula, Azraie telah membawanya menaiki gunung sejak berumur 5 bulan lagi.

“Kebanyakan orang yang minat aktiviti lasak, apabila mereka sudah berkeluarga mereka tidak lagi meneruskan minat itu. Bagi kebanyakan mereka, agak sukar untuk melakukan aktiviti lasak apabila ada anak bersama. Mereka juga bimbang akan keselesaan anak-anak ketika berada di luar. Akhirnya minat itu terkubur.

“Pada saya mudah sahaja, apabila keluar melakukan aktiviti lasak bersama anak-anak, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menyediakan keperluan mereka. Bagi yang masih menyusu, maka jangan lupa bawa susu dan botol susu. Begitu juga dengan lampin pakai buang. Apabila semua keperluan asas ini ada (termasuk makanan dan minuman), maka kita tidak perlu risau,” ujarnya lagi.

Jelas Azraie, pastinya beliau sebagai bapa akan memberi yang terbaik untuk anak-anak kerana ia merupakan jalan padanya untuk mengisi masa lapang bersama keluarga tercinta.

“Sempena Hari Bapa saya ingin mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa-bapa di luar sana. Semoga kita semua dapat menjadi tauladan yang baik kepada anak-anak dan dianggap sebagai `hero’ mereka,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]