Polis boleh panggil saya esok atau bila-bila, kata Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pada majlis Silatulrahim Adilfitri DUN Gombak Setia di Padang Taman Selaseh hari ini.

GOMBAK: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata berkata, beliau sedia dipanggil polis pada bila-bila masa bagi membantu siasatan kes video seks sejenis yang didakwa melibatkan seorang lelaki yang mirip dengannya.

Azmin berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, tetapi tidak dapat melakukannya hari ini kerana mempunyai program di Pulau Pinang.

“Saya tidak dapat tentukan bila mereka perlu menghubungi saya, tetapi saya dimaklumkan oleh pejabat bahawa mereka (polis) telah menghubungi saya, tetapi saya akan pergi ke Pulau Pinang hari ini.

“Sudah tentu saya boleh dihubungi esok atau bila-bila masa oleh pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Silatulrahim Adilfitri DUN Gombak Setia di Padang Taman Selaseh di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada polis ada menghubunginya selepas setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Haziq Aziz yang dikaitkan dengan video seks itu dilepaskan dengan jaminan polis semalam.

Semalam, Haziq dilepaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas memberi keterangan kepada polis setelah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika mahu menaiki penerbangan ke Manila pada Jumaat.

Peguam Haziq, Ramesh Sivakumar memberitahu, polis pada asalnya mahu menyambung reman ke atas anak guamnya itu, tetapi akhirnya memberikan jaminan polis tanpa menetapkan sebarang bon jaminan.

Dalam pada itu, Azmin berkata, terpulang kepada polis untuk menentukan sama ada beliau perlu ke balai polis atau pihak berkuasa itu datang ke pejabatnya.

“Proses itu bukan saya tentukan,” katanya.

Berhubung kehadiran pihak dalam PKR bersama-sama Haziq semalam selepas pembebasannya, Azmin berkata, ia merupakan satu amaran kepada kepimpinan parti yang mesti membuat keputusan untuk menyiasat perkara itu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, penyebaran video itu dibuat melalui aplikasi WhatsApp sahaja, bukannya melalui media sosial lain seperti Facebook dan Instagram

“Hanya orang tertentu yang ada nombor ketua cabang, anggota biasa sehingga kepimpinan tertinggi parti.

“Saya tidak ada akses kepada maklumat ini. Jadi persoalannya sekarang, siapa yang beri maklumat itu dan mempunyai kemampuan untuk WhatsApp maklumat dan buat group di Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Justeru, Azmin juga berharap lembaga disiplin PKR akan menyiasat perkara itu secara profesional dan telus.

“Saya dan selesai bahagian saya, termasuk buat laporan polis melalui setiausaha politik saya (Muhammad Hilman Idham) dan dah buat laporan kepada Jabatan Agama Islam,” katanya.

Beliau juga menegaskan tidak akan berehat daripada tugasnya kerana tidak melakukan sebarang kesalahan, selain mendapat sokongan penuh keluarga.

“Alhamdulilah, saya ada isteri yang kuat dan anak-anak yang menyokong.”