2 polis ditahan sebelum penemuan kem Wang Kelian

Woon Tan Seng.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat penemuan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian diberitahu 2 anggota polis pernah ditahan atas tuduhan melindungi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), sebelum penemuan kem terbabit di sempadan Perlis.

Pegawai penyiasat dari Bukit Aman yang mengendalikan kes Wang Kelian, Woon Tan Seng berkata 2 anggota berpangkat lans koperal ditahan di bawah Ordinan Darurat pada pertengahan 2014 menerusi Ops Pintas Utara.

“Ada tangkapan 2 anggota polis ekoran tertangkapnya tekong dan ejen sindiket pendatang tanpa izin. Dua anggota itu dari balai polis Sungai Dua.

“Anggota ini akan memaklumkan kenderaan yang bawa PATI lalui kawasan mereka, mereka kena mengiringi sehingga keluar kawasan,” katanya sambil memaklumkan 2 anggota itu juga didakwa menerima rasuah daripada aktiviti tersebut.

Bagaimanapun, katanya, 2 anggota terbabit dibebaskan kerana tiada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di mahkamah dan kes tersebut juga tidak dihebohkan kepada umum.

“Tiada tindakan lanjut, mereka dibebaskan, hanya tindakan di peringkat jabatan sahaja diambil. Difahamkan mereka hanya iring PATI sahaja dan mereka tidak tahu mana laluan masuk PATI.”

Beliau berkata, penahanan 2 anggota itu tiada kaitan dengan penemuan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Woon merupakan saksi ke-48 dalam pendengaran awam yang diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.

Woon turut memaklumkan sepanjang siasatannya, tidak ada mana-mana anggota polis yang didakwa terlibat melindungi aktiviti pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

“Sehingga hari ini tidak ada anggota ditangkap terlibat secara langsung dengan kes penyeludupan pendatang di Wang Kelian,” katanya.

Dalam keterangannya, Woon turut bersetuju dengan pandangan Pengerusi RCI Arifin Zakaria bahawa sepatutnya tindakan segera perlu diambil sebaik sahaja penemuan kubur di Wang Kelian dan tidak perlu mengambil masa berbulan-bulan untuk bertindak.

“Saya setuju dengan cadangan tun (Arifin) sepatutnya tindakan segera diambil, tetapi mungkin ada rancangan tertentu yang tidak boleh saya jelaskan,” katanya.

Woon akan menyambung memberi keterangan kepada RCI esok.