Adakah anak anda mangsa buli siber?

Kajian antarabangsa mendapati kira-kira 25% ibu bapa Malaysia percaya anak mereka merupakan mangsa buli siber. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Seorang pakar kriminologi menggesa ibu bapa meningkatkan kesedaran tentang buli siber, terutama dalam mengenali tanda-tanda bahawa anak mereka mungkin menjadi mangsanya.

Tanda lazimnya termasuklah tingkah laku merosakkan diri sendiri, menghindari aktiviti sosial dan hilang minat belajar serta melakukan aktiviti harian, menurut Gershina Ayu Mat Saat dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkata, mengenali tanda-tanda ini adalah penting kerena tidak semua mangsa meminta bantuan, kadang-kadang kerana takutkan tindak balas atau tidak mahu menyusahkan keluarga. Terdapat juga kes, mangsa pasrah dengan keadaan itu atau percaya ia adalah takdir diri mereka.

Beliau memberitahu FMT, kadang-kadang ibu bapa merupakan orang terakhir yang tahu bahawa anak mereka merupakan mangsa atau pelaku buli siber.

Merujuk kepada ibu bapa pelaku buli, beliau berkata, “sebilangannya melihat anak mereka sempurna. Mereka gagal memahami bahawa tabiat buli terbentuk di rumah susulan kemahiran keibubapaan yang lemah.”

Tahun lepas, firma penyelidik berpangkalan di Paris, Ipsos, melaporkan dalam satu kajian lobal mengenai buli siber kira-kira 25% responden Malaysia berkata, anak mereka merupakan mangsa.

Baru-baru ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, ia menerima 220 aduan buli siber sejak 2017.

Suruhanjaya berkenaan menasihati pengguna internet supaya mengamalkan kawalan kendiri bagi melindungi dan melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan bagi menghalang buli siber.

Ia berkata, pengguna tidak harus mengongsi maklumat peribadi mereka dalam talian, mengelak daripada membuat atau menghantar pesanan yang buruk atau mengancam, mengabaikan pesanan daripada pembuli dan memadamkan atau menyahaktifkan akaun mereka jika diancam.

SKMM juga menggesa pengguna membuat laporan polis dengan serta merta sekiranya mereka mendapat ancaman fizikal.

Shathana Kasinathan adalah pemberita pelatih di FMT.