Jho Low nafi ada kaitan dengan bekas setiausaha SRC

Low Taek Jho. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho menafikan dakwaan dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd yang beliau ada kaitan dengan bekas setiausaha syarikat itu, Goh Gaik Kim.

Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low menyifatkan dakwaan itu “boleh dibuktikan salah”.

Beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui peguam Amerika Syarikatnya hari ini berkata: “Tiada hubungan kekeluargaan antara Encik Low atau mana-mana ahli keluarganya dengan Goh Gaik Kim.

“Ia mengecewakan peguam itu berusaha untuk membabitkan keluarga Encik Low secara salah.

“Ia juga mengecewakan media melaporkan dakwaan itu sebagai benar, memetik sumber tidak dinamakan berbanding memeriksa secara langsung.”

Kenyataan itu dikeluarkan Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs berpangkalan di Sydney, Australia.

The Edge Financial Daily hari ini melaporkan Gaik Kim yang merupakan setiausaha TRX City Sdn Bhd sejak akhir Mac 2011, ialah ibu saudara Low.

Ia memetik sumber sebagai berkata, beliau ialah adik kepada ibu Low, Evelyn Goh Gaik Ewe.

Akhbar itu melaporkan hasil pemeriksaan menunjukkan beliau juga setiausaha syarikat 1MDB, syarikat induk TRX City, selepas dilantik pada akhir Mac 2011.

Bagaimanapun, akhbar itu berkata, hasi penyelidikan menunjukkan Gaik Kim mungkin meninggalkan 1MDB pada awal April 2016, apabila Chen Kai Hong dilantik menggantikannya.