Kanak-kanak Orang Asli kritikal meninggal dunia

Mayat kanak-kanak suku Batek, Nasri Rosli yang meninggal dunia semalam dijangka dilakukan bedah siasat di Unit Forensik HRPZII pagi ini bagi mengetahui punca kematian. (Facebook pic)

KOTA BHARU: Kanak-kanak Orang Asli suku Batek berusia 3 tahun yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, disahkan meninggal dunia, petang semalam.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, Nasri Rosli yang dimasukkan ke hospital sejak 9 hari lalu, meninggal dunia pukul 6.45 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu dijangka akan dilakukan bedah siasat di Unit Forensik HRPZII pagi ini bagi mengetahui punca kematian.

“Tindakan selanjutnya akan dilakukan sebaik kita mendapat keputusan hasil daripada proses bedah siasat yang dilakukan pihak hospital,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini 2 kematian suku kaum Batek dari Kuala Koh, Gua Musang disahkan meninggal dunia akibat radang paru-paru, manakala 12 lagi lagi mayat yang ditemui dan dikebumikan secara adat di perkampungan itu akan dilakukan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Wabak demam campak

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata 37 daripada 112 Orang Asli suku itu didapati dijangkiti wabak demam campak.

Beliau berkata 37 kes demam campak itu disahkan melalui ujian makmal manakala keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, meliodosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

“Berdasarkan daripada keputusan makmal tersebut, penyakit yang berlaku dalam kalangan Orang Asli Kampung Kuala Koh ini ialah wabak (measles) demam campak,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Kesihatan Bersama Petugas Rombongan Perubatan Haji 1440H/2019, hari ini.

Beliau berkata faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli itu adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5% bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan 30% bagi suntikan dos kedua.

“Pasukan kesihatan sukar untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini yang kerap berpindah-randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi,” katanya.

Dzulkefly berkata daripada 112 kes Orang Asli itu, 3 kematian direkodkan oleh Kementerian Kesihatan, dengan mangsa terbaru merupakan kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 6 bulan kerana komplikasi demam campak.

Daripada jumlah 112 itu juga, katanya sebanyak 51 kes masih dirawat di hospital iaitu 48 kes di wad biasa dan 3 kes di Unit Rawatan Rapi.

Sebanyak 19 kes dengan gejala ringan pula berada di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli di Gua Musang dan 39 kes dibenarkan pulang, katanya.

Menurut Dzulkefly, sebanyak 170 daripada 185 penduduk Kampung Kuala Koh ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka.

Beliau juga berkata pasukan polis yang dibantu pasukan perubatan forensik Kementerian Kesihatan berjaya mengeluarkan semua 12 mayat dari Kuala Koh sehingga 6.40 petang semalam dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mengenal pasti punca kematian.

Sementara itu, Dzulkefly berkata sebanyak 260 anggota kesihatan Kementerian Kesihatan yang terdiri daripada pelbagai kategori termasuk doktor pakar akan dihantar bertugas sebagai Rombongan Petugas Perubatan Haji pada tahun ini dan mereka dijangka bertolak ke tanah suci pada 27 Jun ini.