Kenyataan mengenai sisa plastik salah konteks, kata Kanada

Kanada berkata, ia kini bekerja rapat dengan Malaysia dalam menangani isu penghantaran sisa plastik dari negera itu ke Malaysia.

PETALING JAYA: Kerajaan Kanada hari ini cuba menjelaskan laporan media bahawa negara itu tidak merancang untuk menerima balik sisa plastiknya di Malaysia dengan berkata, ia membuat kenyataan itu merujuk kepada kapal tertentu dari Filipina.

Dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya Tinggi Kanada berkata, Enviroment and Climate Change Canada (ECCC) menjawab soalan media sama ada kapal itu akan mengambil sisa di Malaysia dalam perjalanannya ke Kanada.

“Jawapan ECCC ialah tidak ada rancangan kapal tersebut untuk singgah di Malaysia.

“Dipetik di luar konteks. Kenyataan yang disebut dalam artikel berkenaan tidak tepat,” katanya.

Ia juga menambah bahawa kerajaan Kanada kini bekerja rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dalam menangani isu berkaitan penghantaran sisa dari negara itu ke sini.

Khamis lepas, jurucakap ECCC, iaitu Kementerian Alam Sekitar Kanada dilaporkan berkata, negara itu tidak mempunyai rancangan untuk mengambil semula sisa plastiknya yang kini berada di Malaysia.

Jurucakap ECCC, Gabrielle Lamontagne juga berkata, Kanada tidak menerima apa-apa maklumat mengenai penghantaran sisa dari Kanada ke Malaysia, dan kementerian itu telah menghubungi Putrajaya bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Pada 28 Mei, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, 60 kontena sisa plastik seberat kira-kira 3,000 tan dijumpai di Pelabuhan Klang dan akan dikembalikan ke negara asal.

Kontena terbabit dikatakan berasal dari Amerika Syarikat, Jepun, Kanada, Australia, China, Arab saudi dan Bangladesh.