Laporan: Sekolah Australia gagal sediakan pelajar lanjut pengajian ke universiti

Menurut satu laporan, sekolah di Australia gagal menghasilkan pelajar yang memiliki kemahiran membaca dan menulis seperti yang dikehendaki di peringkat universiti. (Gambar fail)

CANBERRA: Sekolah di Australia gagal menghasilkan pelajar yang memiliki kemahiran membaca dan menulis seperti yang dikehendaki di peringkat universiti, lapor agensi berita China Xinhua memetik dapatan satu laporan.

Suruhanjaya Produktiviti pada Isnin mengeluarkan laporannya berhubung sistem pembiayaan didorong permintaan bagi universiti, yang mendedahkan perkara itu menyebabkan jumlah penuntut yang mengambil keputusan untuk berhenti belajar semakin tinggi.

Di bawah sistem itu, sebanyak 60% golongan muda memasuki universiti pada usia 22 tahun pada 2016 berbanding 53% pada 2010.

Bagaimanapun, penuntut tambahan yang mendaftar di universiti secara amnya adalah kurang bersedia untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi dan mendapat markah lebih rendah dalam ujian literasi serta numerasi.

Sebanyak 21% daripada penuntut tambahan itu mengambil keputusan untuk berhenti belajar di universiti berbanding 12% daripada penuntut lain.

Mereka yang menamatkan pengajian pula berdepan keadaan lebih sukar dalam pasaran kerja dan hanya sedikit berjaya mendapat kerja sepenuh masa dengan gaji purata lebih rendah.

“Ini adalah satu cabaran yang jelas dari segi dasar,” kata Michael Brennan, pengerusi Suruhanjaya Produktiviti, dalam laporan itu.

Meskipun sistem itu membolehkan berpuluh-puluh ribu penuntut dari latar belakang lebih miskin memasuki universiti, laporan tersebut mendapati ia gagal mewujudkan peluang kepada penuntut peribumi dan yang berasal dari kawasan luar bandar.

Sistem pembiayaan didorong permintaan dihapuskan kerajaan pada 2017 selepas perbelanjaan untuk pengajian tinggi meningkat daripada 6.4 bilion dolar Australia (AS$4.4 bilion) kepada 9.3 bilion dolar Australia (AS$6.39 bilion) dalam tempoh 8 tahun.