Mahmoud Abbas sedia adakan pilihan raya umum Palestin

Presiden Palestin Mahmoud Abbas. (Gambar AFP)

RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Ahad berkata, beliau bersedia sepenuhnya untuk mengadakan pilihan raya legislatif dan kemudian pilihan raya presiden di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis.

Abbas membuat kenyataan itu dalam pertemuan beliau dengan Hana Nasser, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin (PCEC) di Ramallah, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita rasmi Palestin WAFA.

Abbas menulis sepucuk surat kepada Nasser beberapa hari lepas yang menyoal kebersediaan PCEC mengadakan pilihan raya Parlimen di wilayah Palestin, lapor WAFA.

Nasser berkata, selepas pertemuan dengan Abbas, suruhanjayanya bersedia mengurangkan semua beban yang mungkin dihadapi dalam mengadakan pilihan raya itu dan menjayakannya, menurut laporan itu.

Abbas mengadakan 3 pertemuan dengan PCEC sejak pengisytiharan beliau pada 22 Dis tahun lepas bahawa Mahkamah Perlembagaan Palestin memutuskan untuk membubarkan Majlis Legislatif Palestin (PLC) dan meminta agar pilihan raya legislatif diadakan dalam tempoh 6 bulan.

PLC tidak beroperasi sejak permulaan perpecahan dalaman Palestin pada 2007 apabila Hamas merampas kuasa di Semenanjung Gaza dan menewaskan pasukan keselamatan presiden Abbas.

Pilihan raya Parlimen diadakan di wilayah Palestin pada Jan 2006 apabila Hamas menyingkirkan Parti Fatah pimpinan Abbas dan memenangi majoriti dalam PLC.

Bagaimanapun, dunia enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya itu.