P Pinang akan mohon peruntukan PTMP selepas PSR lulus, kata Chow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berharap projek Tambakan Selatan Pulau Pinang diluluskan.

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menghantar permohonan kepada kerajaan persekutuan secepat mungkin untuk mendapatkan peruntukan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) sebaik sahaja projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) diluluskan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk meluluskan PSR sebelum PTMP dapat dilaksanakan.

“Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) meletakkan syarat yang sangat penting bagi kami untuk mendapatkan kelulusan PSR terlebih dahulu sebelum mereka dapat memberi kelulusan untuk projek kereta api. Jadi tanpa PSR, kami tidak mendapat kelulusan LRT (Transit Aliran Ringan) kerana ini semuanya berkaitan.

“Kami tidak mengemukakan permohonan itu sebelumnya kerana terdapat tanda tanya sama ada kami mendapat kelulusan PSR,” katanya ketika menyampaikan sumbangan untuk sekolah-sekolah di Pulau Pinang hari ini.

Beliau berharap PSR dapat diluluskan segera kerana ianya mampu memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhannya selain berperanan dalam membiayai kos infrastruktur projek kerajaan negeri serta sebagai pelaburan pembangunan tanah pada masa depan.

“Hujah utama saya kepada Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) adalah PSR penting untuk mengembangkan sektor elektrikal dan elektronik (E&E). Jumlah pelaburan E&E di Pulau Pinang keseluruhannya adalah sebanyak 42% dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) di Malaysia.

Ini menunjukan betapa pentingnya sektor elektrikal dan elektronik di Pulau Pinang dan Malaysia,” katanya.

Menurut Chow, LRT dirancang dalam salah satu projek PIP bakal berpangkalan di salah sebuah dari 3 pulau tambakan PSR dan apabila diluluskan kelak, akan membuka ruang untuk Rakan Pelaksana Projek (PDP) membuat perancangan terperinci dan proses pengambil alihan tanah.

Beliau menyambut baik kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini yang menzahirkan kesediaan kerajaan persekutuan untuk membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan PIP selain komitmen Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.