Putrajaya akan kemuka cadangan akta syariah seragam pada Majlis Raja-raja

Mujahid Yusof Rawa berkata, cadangan menyeragamkan undang-undang kesalahan jenayah syariah antara sebahagian komitmen kerajaan PH untuk memartabatkan Islam berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

KANGAR: Kerajaan akan menghadap Majlis Raja-raja tidak lama lagi berhubung cadangan untuk menyeragamkan undang-undang kesalahan jenayah syariah antara negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.

Ketika ini, undang-undang itu berbeza antara setiap negeri dan raja ialah ketua agama di negeri masing-masing.

Mujahid berkata, kerajaan juga akan mengadakan pertemuan dengan semua menteri besar dan ketua menteri untuk penjelasan mengenai cadangan itu yang disasar dilaksanakan pada 2020.

“Kita dah maklum kepada Majlis Raja-raja mengenai rancangan ini yang antaranya bertujuan memperkasakan undang-undang syariah,” katanya pada majlis ramah mesra dengan ketua jabatan, tokoh masyarakat dan badan bukan kerajaan di Perlis sempena sambutan Aidilfitri hari ini.

Beliau berkata, usaha itu sebahagian komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk memartabatkan Islam berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, katanya, kerajaan juga akan menubuhkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes ibu tunggal yang menuntut hak dalam hal nafkah, harta dan lain-lain.