Timbalan menteri: Lantik Haziq sebagai setiausaha sulit langkah strategik

Selain aktif dengan aktiviti parti, Haziq Aziz juga bergiat aktif dalam praktis guaman. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata lantikan Haziq Aziz sebagai setiausaha sulit kanannya sebelum ini adalah langkah strategik selepas penyandang pertamanya meletak jawatan.

Shamsul dalam satu kenyataan hari ini berkata, lantikan Haziq dibuat selepas mengambil kira kelayakan akademik, pengalaman pentadbiran dan keperluan kementerian itu untuk mempunyai wakil dari Sarawak dan Sabah.

“Haziq secara strategiknya merupakan calon yang sesuai untuk jawatan berkenaan,” katanya sambil menambah beliau mengenali Haziq sejak 2012 yang ketika itu merupakan pengasas dan presiden kelab mahasiswa Keadilan di Universiti Malaya.

Sebelum ini, Haziq Aziz yang secara terbuka mendakwa dirinya terlibat dalam video seks sejenis bersama seorang individu mirip menteri Kabinet, Mohamed Azmin Ali, digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Shamsul serta merta.

Shamsul berkata, selain kelayakan tersebut, Haziq juga dinilai berdasarkan rekod lamanya dalam PKR kerana melibatkan diri dalam parti itu sejak berusia 19 tahun.

Selain aktif dengan aktiviti parti, jelas Shamsul, bekas pekerjanya itu juga bergiat aktif dalam praktis guaman.

Shamsul berkata, Haziq pernah berkhidmat sebagai pelatih di beberapa pusat guaman. Antaranya, menjadi pelatih di firma guaman milik Menteri Kerja raya Baru Bian, pelatih bersama di Lawyers for Liberty (LFL) dan pelatih di pejabat menteri besar Selangor ketika Azmin menjadi menerajui negeri itu.

“Di bawah seliaan setiusaha akhbar (Azmin), Khalid Jaafar,” katanya.

Shamsul turut menafikan tohmahan yang mengaitkannya sebagai pihak yang mempunyai agenda di sebalik lantikan Haziq.

Katanya, beliau menolak sebarang permainan kotor yang mencemarkan nama baik seseorang.

“Tindakan beliau ini sangat mengejutkan dan tentunya sama sekali tidak diduga,” katanya.