Azmin muat naik gambar temui Agong di Istana Negara

Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali memuat naik beberapa gambar pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, selepas Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kembali daripada lawatan khas 3 hari ke Emiriah Arab Bersatu minggu lalu.

Dalam catatan di Twitter pada Isnin, timbalan presiden PKR itu mengucapkan terima kasih kepada Agong atas pertemuan itu.

“Titah nasihat dan pedoman tuanku akan patik junjung sentiasa,” tulisnya di Twitter.

Azmin berkata, kementeriannya akan merebut peluang untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dua hala dalam pelbagai sektor bagi menambah nilai kerjasama Malaysia dan UAE, susulan lawatan khas Agong minggu lalu.

Sultan Abdullah mengadakan lawatan pertama ke UAE selepas mengangkat sumpah sebagai Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Lawatan khas yang berakhir Jumaat lalu itu bertujuan memperkukuhkan hubungan Malaysia dan negara Teluk Arab itu.

Dalam lawatan itu, Sultan Abdullah mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Mereka berdua menuntut di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom, pada 1970-an.