Bekas presiden Mesir, Morsi meninggal dunia

Mohamed Morsi digulingkan selepas protes besar-besaran dan rampasan kuasa tentera pada Julai 2013. (Gambar Reuters)

KAHERAH: Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokratik, Mohamed Morsi, meninggal dunia pada usia 67 tahun selepas jatuh semasa perbicaraan mahkamah pada Isnin, kata peguam negara itu.

Morsi yang juga presiden awam pertama di negara itu, “kelihatan bersemangat” semasa pendengaran dalam pembicaraan semula kes pengintipan di mana dia dituduh bekerjasama dengan kuasa asing dan kumpulan militan, menurut sumber kehakiman dan keselamatan.

“Mahkamah memenuhi permintaannya untuk bercakap selama 5 minit … Dia jatuh dalam kandang tertuduh … dan dibawa segera ke hospital. Laporan perubatan mendapati … tiada nadi atau pernafasan,” kata pejabat Peguam Negara.

“Dia tiba di hospital dan meninggal dunia pada jam 4:50 petang dan tidak ada kecederaan yang baru kelihatan pada badannya.”

Sejak penggulingan Morsi pada 3 Julai 2013, bekas menteri pertahanannya sekarang Presiden Abdel Fattah al-Sisi melancarkan tindakan keras yang berterusan, menyasarkan penyokong Morsi dari Ikhwanul Muslimin dengan beribu-ribu daripadanya dihukum penjara dan ratusan lagi berdepan hukuman mati.