Gambar diguna promosi perniagaan, Saifuddin arah pegawai lapor SKMM

Saifuddin Abdullah.

PETALING JAYA: Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah mengarahkan pegawainya membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas gambarnya digunakan bagi mempromosikan perniagaan tertentu di Facebook.

Beliau berkata dia tidak pernah terlibat sama sekali dengan perniagaan tersebut, dan menyeru orang ramai jangan terpedaya dengan penipuan itu.

“Hakikatnya, gambar tersebut diambil di satu majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea pada 18hb November 2018,” katanya di Facebook.

Beliau juga menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan sindiket penipuan di laman sosial.