Lelaki tukar pengakuan bersalah hina nabi

Pengusaha gerai makan, Chow Mun Fai. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha gerai makan menukar pengakuan kepada bersalah terhadap 8 pertuduhan menghina Nabi Muhammad di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 8 Mac lalu, Chow Mun Fai mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di bawah Seksyen 298A (1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Hakim, Edwin Paramjothy menetapkan 3 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Chow didakwa membuat kenyataan itu menerusi akaun Twitternya @alvinchow333 antara 13 Februari hingga 2 Mac lalu.

Kenyataan itu kemudiannya dibaca pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Chow ditahan di Plaza Pudu pada 6 Mac lalu dan telefon bimbit serta kad simnya dirampas polis.

Dia dihadapkan ke mahkamah pada 8 Mac lalu bersama 2 individu lain, Yazid Kong Abdullah dan Danny Antoni, atas pertuduhan menghina Islam.

Mahkamah Sesyen lain menjatuhkan hukuman penjara 7 bulan dan denda RM10,000 selepas Yazid mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah Sesyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Danny turut mengaku bersalah terhadap 2 pertuduhan menghina Islam dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal memberitahu mahkamah catatan Chow di Twitter dirancang terlebih dahulu kerana ia dimuat naik 3 kali pada 2 Mac dan sekali pada 13 Februari lalu.

“Tindakannya boleh menyebabkan ketidakharmonian atas alasan agama di kalangan rakyat di negara ini,” katanya sambil menambah perkataan digunakan Chow dalam Twitternya adalah kasar dan bersifat provokatif.

Peguam, Rajsurian Pillai yang mewakili Chow meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum 2 tahun kerana anak guamnya sudah mengaku bertanggungjawab terhadap kenyataan dibuatnya.