Orang PKR ada kaitan dengan Filipina sebar video seks, dakwa Azmin

Azmin Ali mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan mengaitkannya dalam video seks sejenis yang disifatkan bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya.

SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali yakin penyebaran beberapa klip video seks sejenis yang menyasarkannya dilakukan ahli PKR yang mempunyai kaitan dengan Filipina.

Timbalan presiden PKR itu enggan mengulas lanjut kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan polis dan membiarkan rakyat yang menilai tuduhan dilemparkan ke atasnya.

“…sekarang sudah terbukti semakin kuat persepsi membayangkan pihak terlibat dalam konspirasi dan tohmahan ini,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian membangunkan rumah mampu milik dengan Ehsan Sdn Bhd di sini, hari ini.

“Saya yakin umum sudah melihat siapakah dalang dalam episod ini. Biarlah polis melakukan siasatan. Hal ini kerana tidak adil kita atau individu membuat kenyataan yang dilihat mengganggu siasatan.”

Kenyataan ini menyusul 4 hari selepas polis menahan Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 ketika beliau mahu berlepas ke Manila.

Setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin, itu mengaku dirinya terbabit dalam hubungan seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi Azmin menafikan sekeras-kerasnya.

Hari ini, Azmin berkata, tidak wajar dan tidak adil untuk mempertikaikan ketulenan video seks sejenis itu kerana siasatan pihak berkuasa masih berterusan.

“Sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab membuat kenyataan seperti ini, ia boleh dilihat mengganggu proses siasatan. Bagi saya, sejak awal lagi saya yakin ini agenda politik.”

Katanya, beliau sudah mengambil tindakan untuk membersihkan namanya berdasarkan nasihat peguamnya, termasuk membuat laporan qazaf dan polis.

Semalam, media Australia memetik pakar forensik digital yang berpendapat video seks sejenis itu tidak diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai “deepfake”.

Sementara itu, timbul spekulasi seorang pemimpin PKR negeri hilang sejak minggu lalu, selepas beberapa klip video lucah menunjukkan 2 lelaki sedang mengadakan hubungan seks sejenis tersebar di media sosial.

Beberapa kumpulan WhatsApp berkaitan PKR menamakan “individu hilang” itu sebagai Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Tetapi, Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran menafikan dakwaan itu dan berkata beliau sering dihubungi Farhash yang aktif dalam kumpulan WhatsApp pimpinan negeri.

“Saya difahamkan saudara Farhash masih bercuti, namun beliau sentiasa mengikuti perkembangan politik negeri.

“Persoalannya, di dalam isu video yang melibatkan Haziq, kenapa saudara Farhash yang dicari dan kelibat beliau disensasikan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Haziq dilaporkan disiasat atas pelbagai kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.

Azmin pula mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dakwaan mengaitkannya dalam video lucah yang disifatkannya bertujuan memusnahkan kerjaya politiknya.

Semalam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim sekali lagi menolak dakwaan penyokongnya mendalangi penyebaran klip video seks sejenis itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor dilaporkan berkata sebuah pasukan petugas khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dan dianggotai Jabatan Forensik polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, ditubuhkan untuk menyiasat kes video lucah itu.