Selepas 15 kematian, aktivis gesa warta tanah adat Orang Asli Kelantan

Presiden Peka, Shariffa Sabrina Syed Akil. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pencinta alam sekitar menggesa tanah adat orang asli seluas 5,142.73 hektar di Kelantan diwartakan segera sebagai iktibar 15 kematian penduduk Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang dilanda penyakit, selain dikelilingi aktiviti perlombongan dan pembalakan.

Presiden Pertubuhan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, tindakan itu berupaya melindungi keselamatan dan kesejahteraan komuniti itu di kawasan penempatan mereka.

“Mesti (diwartakan). Orang Asli tidak pernah ada pilihan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Julai lalu, FMT melaporkan Pengerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) ketika itu, Ajis Sitin berkata, Kelantan kekal satu-satunya negeri yang belum mewartakan tanah rizab seluas 5,142.73 hektar.

Sedangkan, pada Mac tahun yang sama, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dilaporkan selesai mengukur semua tanah rizab masyarakat Orang Asli di seluruh negara seluas 132,631.04 hektar, sebelum menyerahkan kepada kerajaan negeri masing-masing untuk diwartakan.

Menterinya ketika itu, Ismail Sabri Yaakob berkata, sekatan yang dibina masyarakat Orang Asli di Chawas, Tohoi dan Kuala Wok di Gua Musang masih belum selesai kerana tanah masyarakat tersebut belum diwartakan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Setiusaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, tanah adat yang dituntut sebenarnya hak mutlak kerajaan Kelantan dan tidak pernah wujud tanah untuk Orang Asli di negeri itu.

Kesal kenyataan Wan Azizah

Shariffa Sabrina turut meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail selepas lawatan rasmi ke kampung itu yang menyebut penularan penyakit yang melanda penduduk di situ bukan disebabkan aktiviti perlombongan bijih manganese.

“Tidak masuk akal kerajaan mengatakan sumber air mereka tidak tercemar. Dengan melihat keadaan sungai mereka, saya sendiri tidak mahu meletakkan kaki saya ke dalamnya.

“Apatah lagi mereka minum air yang tercemar dalam tempoh yang lama, ia akan melemahkan sistem imunisasi dan ia pasti akan menyerang paru-paru, itu logik akal,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin dan percaya punca sebenar kejadian hitam itu berpunca daripada kekejaman kerajaan negeri mahupun pusat yang membenarkan kegiatan perlombongan dan pembalakan di kawasan itu.

“Henti menafikan dan terima lah hakikat,” katanya.

Bagaimanapun, semalam, penyakit misteri itu terbongkar apabila Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad mededahkan wabak misteri yang menyebabkan kematian Orang Asli Bateq disebabkan demam campak.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan, termasuk 3 kematian disahkan setakat ini.

Jelasnya, jangkitan virus demam campak amat mudah merebak dengan satu kes boleh menularkan jangkitan kepada 12 hingga 18 individu lain.