Siasatan dakwaan penyelidik PKR dipukul selesai, kata polis

Kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan atau ugutan jenayah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Polis selesai menyiasat laporan mengenai seorang bekas penyelidik PKR yang didakwa dipukul oleh seorang kakitangan parti itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Fadzil Ahmat berkata kertas siasatan akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

“Kita rujuk kepada DPP untuk buat keputusan sama ada tiada kes atau ada kes untuk dituduh,” katanya kepada FMT.

Kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan atau ugutan jenayah.

Pada 10 Jun lalu, seorang pemimpin PKR negeri berkata satu laporan polis dibuat terhadap seorang bekas penyelidik parti itu kerana membuat laporan palsu mendakwa dipukul seorang kakitangan PKR.

Pemimpin negeri yang enggan dikenali itu berkata, kejadian itu tidak pernah berlaku dan rakaman CCTV telah diserahkan kepada polis.

Katanya, rakaman menunjukkan bekas penyelidik itu tidak diapa-apakan.

Ketua PKR negeri itu memberi komen terhadap laporan portal berita bahawa seorang pemimpin PKR disiasat kerana mengasari seorang bekas penyelidik parti tersebut.

Laporan itu menyebut, penyelidik tersebut mendakwa patah tulang berikutan satu pergaduhan yang bermula dengan pertengkaran.

Ia berkata, satu laporan dibuat oleh bekas penyelidik berkenaan di Balai Polis Petaling Jaya pada 26 Mei. Laporan perubatan daripada sebuah hospital swasta turut disertakan.

Selepas itu, satu kenyataan dikeluarkan oleh setiausaha akhbar Presiden PKR Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Abaidah menyebut kecederaan yang didakwa dialami bekas penyelidik tersebut merupakan kecederaan lama.

Katanya, tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini ke atas beliau.