Video seks: Anwar tak setuju kenyataan Farhash

PETALING JAGA: Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan kenyataan Farhash Wafa Salvador, selepas pengerusi PKR Perak itu menggesa Azmin Ali meletak jawatan atau menyaman Haziq Aziz berhubung video seks sejenis mirip menteri.

Presiden PKR itu dalam kenyataan malam tadi menegur kenyataan Farhash berhubung isu video seks itu serta kedudukan Azmin sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

“Sekali lagi saya menggesa pimpinan dan ahli parti supaya menggunakan saluran yang betul dan menyerahkan tugas siasatan isu ini kepada polis,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Farhash, yang juga setiausaha politik Anwar, menggesa Azmin mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq dan bukannya melemparkan tuduhan terhadap orang lain berhubung video seks sejenis yang cuba dikaitkan dengannya.

Farhash berkata tuduhan sembarangan hanya mencelarukan isu tersebut, sedangkan persoalan asasnya adalah, adakah dia terlibat dalam video itu.

Beliau juga menggesa Azmin berundur jika terbukti dia orang dalam video seks sejenis itu.

Minggu lalu, Haziq menggemparkan negara apabila mendakwa Azmin pasangannya dalam satu video seks sejenis yang tersebar di media sosial.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.