3 warga Rusia, 1 Ukraine dituduh atas kejadian tembak jatuh MH17

Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh misil BUK buatan Rusia di timur Ukraine pada 17 Julai 2014. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Empat lelaki dituduh bertanggungjawab dalam penembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di timur Ukraine pada 2014, lapor media British, BBC.

Penyiasat Belanda menuduh 3 warga Rusia – Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov, serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko terlibat dalam peristiwa yang meragut nyawa 283 penumpang dan 15 anak kapal itu.

Nama itu diumumkan dalam sidang media pasukan siasatan bersama (JIT) di Utrecht, Belanda.

Pasukan itu turut mengumumkan pertuduhan ke atas 4 tertuduh itu dan perbicaraan yang dijadualkan pada 9 Mac 2020.

Waran tangkap antarabangsa sudah dikeluarkan.

Boeing 777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh misil BUK buatan Rusia pada 17 Julai 2014 ketika melintasi sempadan timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia.

Hampir 2/3 daripada mangsa korban dalam pesawat itu ialah warganegara Belanda dan 43 warga Malaysia turut terbunuh dalam kejadian itu.

Penyiasat menyerahkan nama 4 suspek itu kepada waris mangsa korban hari ini.