Anak Mat Sabu didakwa ambil dadah

Ahmad Saiful Islam didakwa di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu didakwa dengan pertuduhan mengambil dadah pada Khamis lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Kamarulzaman Mamat dipetik Bernama sebagai berkata, lelaki berusia 31 tahun itu didakwa di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ahmad Saiful Islam yang mengaku tidak bersalah, dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000.

“Tertuduh sedang menunggu perbicaraan bulan depan di mahkamah Kuala Lumpur.”

Januari lalu, Bernama melaporkan anak seorang menteri ditahan polis atas dakwaan positif ganja di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, di sini.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, kemudiannya dilaporkan berkata, tiada sesiapa terkecuali daripada tindakan undang-undang, termasuk anaknya, tetapi presiden Amanah itu berharap anaknya akan mendapat perbicaraan adil.