Farid Kamil dapat tangguh penjara 9 bulan

Farid Kamil

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pelakon, Farid Kamil Zahari untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 9 bulan yang sedang dijalaninya kerana menggunakan dadah sehingga rayuannya selesai.

Hakim Ab Karim Ab Rahman memutuskan perkara itu selepas mempertimbangkan tempoh pendengaran rayuan yang difailkan Farid terhadap hukuman penjara itu yang akan mengambil masa lama.

Beliau memerintahkan pelakon berusia 38 tahun itu membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan iaitu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga rayuan kesnya selesai.

Farid diwakili peguam, Amirul Ridzuan Hanif dan Ahmad Safuan Hazlan sementara Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli hadir bagi pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Adik Farid, Fadzil Bahri hadir pada prosiding itu manakala isterinya, Diana Danielle tidak kelihatan.

Pelakon itu yang sebelum ini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya tersebut pada 21 Mei lepas dan mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman pada 31 Mei lepas.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita di luar mahkamah mengenai perasaannya apabila mendapat penangguhan, Farid yang kelihatan ceria menjawab ringkas: “Insya Allah, Allah permudahkan.”

Pada 15 Mei lepas, Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara terhadap Farid serta mengarahkan dia berada bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama 2 tahun, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadapnya.

Mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Sepanjang perbicaraan bermula 18 Dis 2018, seramai 5 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pelakon itu memilih untuk berdiam diri.

Mengikut pertuduhan, Farid Kamil didakwa menggunakan dadah tersebut dikenali sebagai THC, di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang, 11 Jan 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.