Ibu pembantu juruterbang MH17 harap dapat keadilan

Noriah Dauh masih sedih dengan pemergian anak lelakinya hampir 5 tahun selepas pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

PETALING JAYA: Ibu kepada pembantu juruterbang penerbangan MH17 gembira kerana akhirnya beliau tahu identiti individu yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines itu hampir 5 tahun lalu.

Ini susulan pendakwa raya di Eropah mengumumkan mereka akan mendakwa 3 warga Rusia dan seorang warga Ukraine atas pertuduhan membunuh 283 penumpang dan 15 anak kapal MH17.

Waran tangkap antarabangsa sudah dikeluarkan ke atas 4 lelaki itu – Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov dari Rusia, serta Leonid Kharchenko dari Ukraine dengan perbicaraan akan diadakan di Belanda pada 9 Mac 2020.

Noriah Daud yang masih sedih dengan pemergian Ahmad Hakimi Hanapi Mohd Noor, berkata beliau kini boleh menaruh harapan untuk mendapat keadilan bagi anaknya.

“Kami sudah lama tunggu jawapan, sekarang kami tahu siapa pengganas ini.

“Sekarang, saya harap lelaki itu boleh ditahan secepat mungkin supaya ahli keluarga semua mangsa mendapat keadilan,” katanya kepada FMT hari ini.

Penyiasat menyerahkan nama 4 suspek itu kepada waris mangsa korban hari ini, hampir 5 tahun selepas Boeing 777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh misil BUK buatan Rusia pada 17 Julai 2014 di timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia.

Mangsa korban berasal dari Belanda, Malaysia, Australia, Indonesia, Britain, Belgium, Jerman, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Pada Mei 2018, Belanda dan Australia dilaporkan berkata, misil BUK itu dilancarkan sepasukan briged tentera Rusia, tetapi Moscow menafikan dakwaan itu dan menuding jari ke arah Kiev.