KKM mahu bincang dengan FB selepas saluran aduan WhatsApp disekat

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan pemilik WhatsApp, Facebook selepas talian aduan awamnya disekat kerana menyalahi dasar privasi perkhidmatan pesanan popular itu.

Talian “hotline” itu diwujudkan bagi membolehkan orang ramai menghantar aduan dan gambar perokok di zon larangan merokok kepada pihak berkuasa.

“Menurut maklumat yang saya terima, sekatan ini berlaku selepas terdapat aduan daripada orang awam yang mendakwa talian hotline tersebut melanggar terma dan syarat WhatsApp,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Terdahulu, FMT melaporkan mesej yang dihantar ke nombor 60108608949 tidak sampai kepada nombor tersebut. Tiada tanda “double tick” pada aplikasi itu untuk menunjukkan ia telah diterima.

Sebahagian dasar privasi WhatsApp seperti dinyatakan di laman webnya berbunyi: “Anda tidak akan menggunakan (atau membantu orang lain menggunakan) perkhidmatan kami dengan cara yang: (a) melanggar, menyalahi undang-undang, atau mencabuli hak WhatsApp, pengguna kami atau orang lain, termasuk privasi, publisiti, harta intelek, atau hak proprietari lain.”

Dzulkefly menjelaskan talian tersebut disediakan bagi memudahkan orang awam membuat laporan, mendapatkan maklumat, membuat pertanyaan dan mendapatkan nasihat.

“Langkah ini diambil bagi memperkasakan peranan orang awam dalam membantu kementerian melaksanakan larangan merokok, selain meningkatkan kesedaran mereka terhadap bahaya asap rokok,” katanya.

Larangan merokok diperkenalkan pada 1 Januari lalu, memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara 3 tahun terhadap pelanggan dan pemilik premis yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

Kementerian melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di tempat-tempat makan sehingga akhir tahun ini.