Menteri tangguh mesyuarat dengan Australia mengenai sisa Lynas

Putrajaya menetapkan syarat untuk Lynas melupuskan simpanan sisa radioaktifnya di Gebeng, Kuantan, sebelum memperbaharui lesen operasinya yang akan tamat September ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin menangguhkan lawatannya ke Australia bagi membincangkan pelupusan sisa radioaktif Lynas di Malaysia.

Jurucakap kementerian itu berkata, lawatan itu yang dijadualkan minggu ini ditangguhkan “sementara menunggu perkembangan lanjut”.

Yeo sepatutnya menemui Bill Johnston, menteri perlombongan Australia Barat pada Khamis ini untuk membincangkan pelupusan sisa radioaktif Lynas di Malaysia.

Awal bulan ini, Johnston dipetik media negara itu berkata, Australia Barat tidak akan menerima sisa buangan Lynas.

Lynas yang merupakan syarikat senaraian awam multinasional di Bursa Saham Australia, ialah satu-satunya pengeluar penting nadir bumi di luar China.

Ia sedang menunggu pembaharuan lesen operasinya bagi kilangnya bernilai AS$800 juta di Gebeng, Kuantan, yang akan tamat pada September ini.

Putrajaya sebelum ini menetapkan syarat untuk Lynas melupuskan simpanan sisa radioaktifnya sebelum memperbaharui lesen operasinya.

Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Lynas dibenarkan terus beroperasi di Malaysia kerana ia adalah “pelaburan Australia yang besar”, tetapi masalah sisa radioaktifnya perlu diatasi.