Pasukan khas buat tinjauan subjek agama secara ‘online’

PPKPI ditubuhkan pada 15 April lepas bagi melaksanakan kajian menyeluruh terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam bagi tujuan penambahbaikan.

PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) melaksanakan tinjauan dalam talian bagi melihat pandangan yang relevan dan sesuai untuk diambil kira bagi meningkatkan kualiti mata pelajaran Pendidikan Islam, kata Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

MPPK berkata PPKPI bersetuju melaksanakan satu tinjauan dalam talian melibatkan semua pemegang taruh Sistem Pendidikan Kebangsaan bagi mendapatkan input tambahan dalam usaha menambah baik mata pelajaran Pendidikan Islam.

Ia melibatkan tinjauan pandangan segenap golongan rakyat bagi mendapatkan sebarang maklum balas mengenai pengalaman mereka menjalani pembelajaran dan berinteraksi di Sekolah Kebangsaan (SK), katanya.

“Ia (tinjauan) bukanlah satu undian atau petisyen untuk memberikan sebarang tekanan yang tidak wajar,” kata MPPK dalam satu kenyataan semalam berhubung kajian penambahbaikan mata pelajaran Pendidikan Islam oleh PPKPI.

PPKPI di bawah MPPK ditubuhkan pada 15 April lepas bagi melaksanakan kajian menyeluruh terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam bagi tujuan penambahbaikan.

Selain mendapatkan input daripada pelbagai agensi dan bahagian di Kementerian Pendidikan, PPKPI telah dan akan mengadakan pelbagai sesi perbincangan dengan pakar pendidikan, wakil badan bukan kerajaan dan sesi libat urus dengan guru mata pelajaran Pendidikan Islam.

MPPK berkata tarikh akhir untuk memberi pandangan atau cadangan kepada tinjauan dalam talian itu adalah pada 15 Julai depan.

Mereka yang ingin memberi pandangan atau cadangan boleh berbuat demikian dengan akses pautan https://forms.gle/SeVw82uoR2r8vnfp8.

“PPKPI komited dan jelas dengan tujuan dan keberhasilan utama kajian ini iaitu untuk memartabatkan mata pelajaran Pendidikan Islam di SK,” kata MPPK.