PKR beri Haziq 14 hari jelaskan dakwaan video seks

Haziq Aziz. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PKR memberikan tempoh 14 hari kepada Haziq Aziz untuk menjelaskan dakwaannya mengenai video seks sejenis yang cuba dikaitkan dengan timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi Lembaga Disiplin, Ahmad Kasim berkata pegawai kepada Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Md Akin itu diminta memberikan surat tunjuk dalam tempoh tersebut mulai esok sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita akan beri surat tunjuk sebab esok pada Haziq sebab cemarkan dan jatuhkan maruah reputasi kepimpinan parti,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat biro politik PKR di ibu pejabat parti petang tadi.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat lembaga disiplin PKR pada Ahad, tambahnya.

Ahmad memaklumkan kepada pemberita walaupun lembaga mengambil maklum penafian Azmin berhubung video seks sejenis itu, pihaknya menunggu siasatan dan dapatan pihak berkuasa.

Lembaga juga akan meneliti sebarang penafian daripada timbalan presiden, katanya.

“Lembaga disiplin memberi amaran keras kepada semua anggota parti jangan membuat kenyataan tanpa asas dan fakta terhadap kepimpinan parti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Anwar Ibrahim pada sidang media yang sama meminta media merujuk kenyataan lembaga disiplin berhubung dakwaan pihak dalaman PKR terlibat dalam penyebaran video seks itu.

Beliau berkata kepimpinan parti menyerahkan perkara itu dan beberapa hal lain untuk diputuskan lembaga disiplin, yang akan memaklumkan biro politik PKR.

“Keputusan ini secara konsensus, ternyata ini telah dipersetujui,” katanya.

Minggu lalu, Haziq menggemparkan negara apabila mendakwa Azmin pasangannya dalam satu video seks sejenis yang tersebar di media sosial.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.