Polis ambil keterangan 10 saksi bagi kes dera warga emas

Tangkap layar daripada satu rakaman video yang tersebar di Facebook mendakwa warga emas di sebuah pusat jagaan di Seremban 3 dibuli dan didera.

SEREMBAN: Sebanyak 7 laporan polis diterima dan 10 saksi dipanggil untuk dirakamkan percakapan berhubung kes penderaan warga emas di sebuah pusat jagaan di sini yang tersebar di Facebook sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Thiew Hock Poh berkata laporan itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan pusat jagaan orang tua yang didakwa mendera warga emas itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pengadu wanita berusia 34 tahun kira-kira 4.35 petang Isnin lalu.

“Pengadu menyatakan kira-kira 12 tengah hari, dia menerima pesanan melalui WhatsApp daripada bekas pekerja di sebuah premis pusat jagaan orang tua yang terletak di Taman Seremban 3 dengan menyatakan terdapat kes penderaan ke atas penghuni premis tersebut.

“Laporan itu juga dibuat berikutan sebuah rakaman video yang viral di laman sosial mengenai kelakuan seorang wanita didakwa sebagai penyelia di premis tersebut sedang membuli seorang warga emas yang disyaki berlaku di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 351/ 352 Kanun Keseksaan.

Isnin lalu, tersebar di Facebook berhubung dakwaan warga emas di sebuah pusat jagaan warga emas di Seremban 3 didera seorang penyelia sejak 3 tahun lalu.