Saya akan cadang PKR pecat Haziq petang ini, kata Zuraida

Zuraida Kamaruddin (kanan) menjamu warga kerja Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada majlis Semarak Aidilfitri dan Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam di kementeriannya di Putrajaya, hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin akan mencadangkan Biro Politik parti itu memecat Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz yang mengaku mengadakan hubungan seks sejenis dengan seorang individu didakwa menteri kanan.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, PKR sepatutnya mengambil tindakan ke atas Haziq selepas pengakuan terbukanya melakukan seks sejenis yang merupakan jenayah di negara ini.

“Jadi, sepatutnya tindakan pecat dikenakan kepada anggota terlibat kerana ia memalukan parti, mencemarkan parti dan juga mencemarkan kepimpinan parti,” katanya selepas Majlis Semarak Aidilfitri dan Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam di kementeriannya, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat 5.30 petang ini di ibu pejabat parti itu untuk membincangkan klip video seks sejenis mengaitkan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali yang tersebar di media sosial sejak minggu lalu.

Zuraida turut membidas pihak yang mendesak Azmin bercuti atau melepaskan jawatannya susulan kontroversi itu dengan menyifatkan ia cadangan konyol (bodoh).

“Saya ingat pemimpin yang buat kenyataan sebegitu harus lebih waras.

“Lebih baik mereka ini fokus untuk bantu bina negara, buang masa buat kerja bukan-bukan, memalukan negara.”

Katanya, Azmin menafikan terbabit dalam video seks sejenis itu dan semua pihak perlu menunggu hasil siasatan polis.

Pada 12 Jun lalu, Haziq menggemparkan negara dengan mengaku dirinya terbabit dalam klip video seks sejenis itu.

Beliau turut menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video lucah itu yang didakwanya dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerus Parlimen itu baru-baru ini.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi menolak dakwaan itu dengan menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Susulan itu, Kementerian Industri Utama menggantung tugas Haziq serta-merta sebagai setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin dan memberi 3 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab.