Suruhanjaya Persaingan pantau industri simen

Iskandar Ismail. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan menumpukan perhatian dan usaha memantau industri simen secara konsisten susulan jaminan kerajaan bahawa harga bahan binaan itu tidak akan naik.

Ketua Pegawai Eksekutif, Iskandar Ismail berkata MyCC mengambil maklum notis kenaikan harga yang dikeluarkan beberapa syarikat simen, dan mengambil kira kesan pengambilalihan syarikat Lafarge oleh YTL Cement Bhd.

Sebelum ini dilaporkan beberapa kontraktor dan pengilang produk simen mendedahkan mereka menerima surat daripada sebuah syarikat simen tempatan bahawa hantar bahan binaan itu akan naik.

Terdapat laporan mengatakan harga dijangka naik sehingga 40%.

“Seksyen 4 dan Seksyen 10 Akta Persaingan dengan jelas melarang perusahaan daripada membuat perjanjian antipersaingan dan menyalahgunakan kedudukan dominan mereka di pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Iskandar juga menggesa orang ramai membuat aduan kepada MyCC sekiranya mereka mengesan sebarang perlakuan antipersaingan dalam industri simen.

Sebelum ini, isu kenaikan harga simen dibangkitkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang mendakwa menerima notis kenaikan harga simen sebanyak 40% pada 3 Jun lalu.

Kenaikan berkenaan dilaporkan berkuatkuasa pada 15 Jun dan 1 Julai ini.

Berdasarkan laporan itu, 85% bekalan simen negara dikuasai oleh sebuah syarikat sahaja dan jangkaan kenaikan mendadak daripada RM10 kepada RM16 itu akan menyebabkan harga rumah terutama rumah mampu milik menjadi mahal.

MyCC memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain industri simen semalam, dan Menteri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata pemain industri simen bersetuju untuk tidak menaikkan harga bahan binaan tersebut.

Beliau berkata pemain industri tertakluk kepada Akta Kawalan Bekalan yang meletakkan syarat bahawa kerajaan perlu dimaklumkan jika harga simen hendak dinaikkan.