Tujuan pembiayaan SRC bertentangan dengan jaminan kerajaan, kata saksi

Afidah Azwa Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM2 bilion bertentangan dengan tujuan pembiayaan yang diluluskan jemaah menteri.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, 44, berkata jaminan kerajaan sepatutnya bertujuan membiayai pelaburan dalam sektor sumber asli namun SRC menyatakan tujuannya untuk membiayai aktiviti pelaburan am dan modal pusingan syarikat.

Beliau berkata Kementerian Kewangan kemudian, dalam satu memorandum, memohon kepada mesyuarat jemaah menteri untuk meminda tujuan pinjaman yang dinyatakan SRC kepada pelaburan dalam sektor sumber asli.

Saksi ke-41 pendakwaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-28 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Suhaimi: Jaminan yang akan diluluskan bertujuan semata-mata supaya SRC dapat pinjaman untuk tujuan apa?

Afidah: Untuk biayai pelaburan dalam sektor sumber asli.

Suhaimi: Mengikut memo, bacakan.

Afidah: Syarikat SRC memutuskan untuk memperoleh pembiayaan daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP). Panel KWAP meluluskan RM2 bilion dengan terma dan syarat pinjaman. Tujuan bagi membiayai aktiviti pelaburan am dan modal pusingan SRC.

Suhaimi: Adakah ini bersamaan dengan keputusan jemaah menteri yang dibacakan tadi?

Afidah: Tidak.

Suhaimi: Memo ini diangkat kepada menteri kewangan ketika itu untuk persetujuan?

Afidah: Ya.

Najib, 66, didakwa atas 3 pertuduhan pecah amanah, 1 pertuduhan salah guna kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.