Gas beracun mungkin punca pelajar muntah, pengsan di Pasir Gudang, kata menteri

Petugas keselamatan sedang mengambil keterangan mangsa pencemaran udara yang mendapatkan rawatan di Sekolah Agama Taman Mawar hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Dzulkelfy Ahmad tidak menolak kemungkinan 15 pelajar sebuah sekolah agama yang muntah-muntah dan pengsan di Pasir Gudang, Johor seperti dilapor media hari ini terhidu gas beracun.

Beliau mengulas laporan mengenai pelajar Sekolah Agama Taman Mawar yang mengalami kesukaran bernafas dan muntah dipercayai kerana pencemaran udara. Lima mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.

“Berdasarkan gejala terdapat kemungkinan ia gas beracun,” kata Dzulkefly kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet hari ini.

Kementerian Kesihatan masih menunggu makluman terkini daripada Jabatan Kesihatan Johor.

Beliau juga berkata, masih terlalu awal untuk mengarahkan supaya sekolah ditutup.

Perkembangan ini 3 bulan selepas kes pencemaran akibat pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, yang menyaksikan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan 111 buah sekolah ditutup.