Guru, NGO Melayu berang ura-ura kerajaan mahu laksana semula PPSMI

Terdapat desas desus ang menyebut kerajaan PH akan melaksanakan semula PPSMI bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Guru dan kumpulan pendesak Melayu membantah keras rancangan kerajaan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah, satu dasar kegemaran Dr Mahathir Mohamad bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar yang dihentikan pada 2011 berikutan protes meluas terhadapnya.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang merupakan persatuan guru terbesar negara ini menegaskan bahawa PPSMI bukanlah penyelesaian bagi masalah penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan pelajar.

Presiden NUTP Amiruddin Awang berkata, kerajaan sebaliknya perlu mengatasi masalah kebimbangan berhubung kualiti guru dan mengkaji semula silibus subjek bahasa Inggeris.

Terdapat desas-desas bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) cenderung untuk memperkenalkan semula PPSMI, terutama sekali apabila penyokong kuatnya adalah perdana menteri sendiri.

Wujud juga spekulasi bahawa Kabinet telah memberi lampu hijau berhubung pelaksanaannya.

Ketika ditanya, Amiruddin memberitahu Utusan Malaysia bahawa beliau tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai perkara itu.

“Kalau betul pastinya riuh di media sosial dan kita pun akan mengeluarkan kenyataan membantah sebab dari dulu lagi memang NUTP menolak pelaksanaan PPSMI. Ia tidak mengubat penyakit sebenar,” katanya kepada akhbar tersebut.

Sementara itu jurucakap Majlis Perundingan Melayu Hasan Mad berkata, kumpulan itu akan meneruskan tekanan, termasuk mengadakan himpunan cendekiawan Melayu pada 4 Julai depan bagi membantah langkah itu.

Katanya, MPM tidak menentang usaha kerajaan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi “bukan melalui subjek Matematik dan Sains kerana kaedah itu hanya mewujudkan jurang antara pelajar luar bandar dengan bandar”, katanya.

PPSMI yang dicadangkan oleh Mahathir pada 2002 kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya ketika itu dilaksanakan pada 2003.

Mahathir berkata, Malaysia masih ketinggalan dalam penguasaan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa utama bagi bidang sains dan teknologi.

Bagaimanapun pada 2009, menteri pendidikan pada masa itu, Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa sekolah tidak lagi dikehendaki mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggersi dengan berkata, kerajaan akan memansuhkan PPSMI menjelang 2012.

Empat tahun kemudian, perdana menteri pada masa itu, Najib Razak mengumumkan pelaksanaan Program Dwi Bahasa, yang membenarkan pihak sekolah membuat pilihan untuk mengajar subjek Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka cipta dan Teknologi dalam bahasa Inggeris.

Penyokong PPSMI merujuk kepada peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan statistik yang menunjukkan pencapaian lebih baik bagi subjek sains dan Matematik selepas dasar itu dilaksanakan.

Penentang PPSMI sebelum ini menyeret kerajaan ke mahkamah berhubung perkara itu.

Pada 2006, 4 pelajar, termasuk anak bekas menteri besar Perak, Mohamed Nizar Jamaluddin, memfailkan saman menuntut PPSMI diisytiharkan bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan kerana ia melanggar hak untuk belajar dalam bahasa kebangsaan. Mahkamah Tinggi pada 2010 menolak saman tersebut.