Kabinet bincang PPSMI tapi tiada keputusan, kata Muhyiddin

SERI KEMBANGAN: Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menjelaskan jemaah menteri ada membincangkan pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tetapi tiada keputusan dibuat.

Muhyiddin menjelaskan perbincangan tersebut bersifat umum untuk mengambil kira pandangan pelbagai pihak berhubung PPSM, dan buat masa sekarang, Kementerian Pendidikan diminta untuk mengkaji pelaksanaan semula dasar kontroversi itu.

“Tidak perlu tergopoh-gopoh untuk buat keputusan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, kesatuan guru membantah rancangan melaksanakan semula PPSMI, dasar yang dilaksanakan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2003 sehinggalah ia dihentikan pada 2012 berikutan bantahan meluas.

Rasional dasar itu penguasaan bahasa Inggeris akan memudahkan perolehan ilmu dalam bidang sains dan matematik, tetapi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata ia tidak menyelesaikan masalah asas penguasaan bahasa yang lemah dalam kalangan pelajar.

Presiden Amiruddin Awang sebaliknya menggesa kerajaan mengatasi kebimbangan mengenai kualiti guru dan mengkaji semula sukatan pelajaran dan mata pelajaran bahasa Inggeris.

Muhyiddin hari ini memaklumkan pelbagai pandangan dikemukakan dalam perbincangan jemaah menteri, namun setakat hari ini tidak ada keputusan lagi.

“Tetapi penting untuk kita tekankan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat,” katanya.

Muhyiddin yang mengumumkan dasar PPSMI akan dihentikan pada 2009 ketika beliau memegang portfolio pendidikan. Empat tahun kemudian, pentadbiran Najib Razak mengumumkan pelaksanaan Program Dwi Bahasa, yang membenarkan sekolah memilih bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains, Matematik, Teknologi Maklumat & Komunikasi, dan Reka Bentuk & Teknologi.

Ditanya mengenai mahkamah Akta Pencegahan Pengubahan Wang khas India yang memerintahkan penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik tampil pada 31 Julai depan, Muhyiddin berkata setakat hari ini kementeriannya belum menerima permohonan rasmi ekstradisi daripada New Delhi.

“Selagi kita tidak terima, kita tidak akan ambil tindakan atau buat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah itu berkata satu waran tanpa ikat jamin akan dikeluarkan terhadap Naik jika beliau gagal menghadirkan diri.

Putrajaya baru-baru ini berkata Malaysia berhak menolak permohonan hantar pulang Naik kerana dia percaya tidak akan mendapat keadilan di India.