Kehadiran Musa Aman di majlis raya PPBM jadi perbualan

TUARAN: Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman menghadiri satu majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran penyelaras PPBM, Hajiji Mohd Noor di kediamannya hari ini.

Adun Sungai Sibuga itu, yang menggayakan Baju Melayu warna biru muda dan samping, disambut Hajiji bersama pimpinan PPBM negeri dan beberapa Adun pembangkang apabila tiba sekitar 11.30 pagi.

Ketibaan Musa, seorang pemimpin Umno, menarik perhatian hadirin dan kehadirannya di majlis PPBM itu menjadi perbualan.

Selepas bermesraan dengan tetamu lain, Musa meluangkan masa bersama Hajiji dan pimpinan lain sebelum meninggalkan kediaman itu sekitar 1.30 petang. Beliau enggan bercakap dengan pemberita.

Hajiji berkata Musa datang sebagai seorang kawan dan “bekas ketua”.

“Kami jaga hubungan sebagai kawan ini, dan, lebih-lebih lagi, sebelum ini saya menganggapnya sebagai ketua saya.”

Ditanya sama ada Musa akan menyertai PPBM, Hajiji berkata: “Dia masih seorang ahli Umno. Saya belum tanya adakah dia mahu sertai kami.”

Adun Sulaman itu memberitahu pemberita: “Di hari raya ini, kita tak pilih-pilih siapa yang boleh datang kerana kami terbuka dan menerima sesiapa yang datang, terutama pemimpin-pemimpin yang banyak menyumbang kepada negeri.”

Ditanya sama ada dia mengundang ahli-ahli jemaah menteri negeri, termasuk Ketua Menteri Shafie Apdal, Hajiji berkata dia tidak ada menghantar undangan rasmi kepada mana-mana orang, tetapi semua dialu-alukan.

“Saya sebenarnya jemput rakyat kawasan saya, tetapi bila orang dengar ada rumah terbuka, mereka datang. Tidak ada undangan rasmi kepada pemimpin politik yang datang…mereka mungkin dapat tahu daripada WhatsApp.

“Tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik, semua boleh datang sebagai kawan.”

Antara wakil rakyat PPBM Sabah yang memeriahkan acara adalah Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Libaran, Zakaria Edris, Adun Karanaan, Masidi Manjun, dan Adun Klias, Isnin Aliasnih.

Turut bersama, pemimpin pembangkang seperti bekas presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan, Setiausaha Agung PBS, Jahid Jahim, dan Ketua Penerangan Joniston Bangkuai, serta pemimpin MCA dan Parti Cinta Sabah.