“Kehidupan kami berubah sejak kehadiran anak comel ini” – Rihana Oksana Petra

Pastinya umum sedia maklum bahawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan isteri baginda, Rihana Oksana Petra selamat dikurniakan putera sulung pada Ramadan lalu.

Berita gembira itu dikongsi sendiri menerusi Instagramnya @rihanapetra dan memaklumkan bayi diberi nama Tengku Ismail Leon Petra Tengku Muhammad V Faris Petra itu dilahirkan pada 21 Mei 2019.

Terbaru Oksana mengucapkan terima kasih dan gembira apabila membaca komen serta ucapan ikhlas para pengikut keluarga diraja itu selepas beliau selamat melahirkan seorang putera.

Malah turut dikongsikan kehidupan baginda dan dirinya berubah sejak dianugerahkan putera comel itu.

“Kepada semua pengikut pengikut saya yang dihormati, jutaan Terima Kasih diucapkan ke atas komen-komen anda. Saya amat senang hati apabila membaca ucapan ikhlas dari anda semua. Kehidupan kami berubah sejak kehadiran anak comel ini.

“Alhamdulillah, sekarang kami adalah keluarga yang bahagia dan sifat kekeluargaan penting dalam kehidupan kita semua. Oleh itu, diharap kita sama-sama menjaga keluarga kita dan juga satu sama lain. Dan semoga kita dan ahli keluarga kita terus sihat sejahtera dan sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah SWT,” tulisnya.

Kini IG rasmi tersebut yang mula dibuka sejak 4 Jun lalu telah mempunyai lebih 273,000 pengikut dan perkongsian terbaru itu juga telah mendapat lebih35,000 “views” selepas ia dimuat naik.

Oksana juga buat pertama kalinya berkongsi cerita manis detik-detik percintaan dengan suami.

Cerita yang dimuat naik melalui post terbarunya di Instagram memaklumkan bahawa mereka bertemu pada satu sesi makan malam bersama rakannya di Eropah sekitar tahun 2017.

Menariknya, apabila Sultan Muhammad V memperkenalkan diri sebagai Yang Di-Pertuan Agong, Oksana tidak mempercayainya.

“Kami bertemu pada musim bunga 2017 di Eropah. Pada masa itu saya bekerjasama dengan rakan karib kami, Jacob Arabo.

“Selepas acara itu, kami pergi untuk makan malam, di mana saya berjumpa dengan seorang lelaki.

“Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Raja Malaysia (Sultan di Malaysia). Saya menganggap itu sebagai jenaka semata-mata, dan saya pula bergurau bahawa saya juga adalah ratu di Moscow,” cerita Oksana.

Semenjak itu, mereka terus berhubung sehinggalah Oksana terbaca berita mengenai perlantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang ke-15.

Bagaimanapun, kisah berkenaan berakhir di situ dengan kata-kata “untuk diteruskan”, dipercayai akan bersambung pada perkongsian seterusnya.

Dalam perkongsian terdahulu, Oksana juga menceritakan serba sedikit pengalaman sepanjang tempoh sembilan bulan mengandung.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]