Kementerian tamatkan khidmat Haziq

Haziq Aziz.

PETALING JAYA: Khidmat Setiausaha Sulit Kanan kepada timbalan menteri Industri Utama, Haziq Aziz ditamatkan susulan video seks gay yang tersebar yang mengaitkannya dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

Kementerian itu melalui satu kenyataan hari ini berkata penamatan kontrak perkhidmatan itu berkuasa kuasa pada 18 Jun 2019.

“Kementerian memandang perkara tersebut sebagai satu pelanggaran nilai, etika dan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa termasuk Perintah Am serta Perjanjian Kontrak.

“Surat tunjuk sebab diberikan dengan serta-merta dan Haziq Abdullah telah menjawab,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu juga berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam sebarang soal perilaku yang menjejaskan reputasi serta imej kementerian.

Minggu lalu, Haziq yang juga pembantu kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku beliau adalah salah seorang daripada lelaki terbabit dalam video seks sejenis yang tersebar di media sosial.

Beliau juga mendakwa Azmin sebagai individu kedua dalam video tersebut.

Azmin bagaimanapun menafikan dengan keras dakwaan tersebut mengatakan ia adalah sebahagian daripada usaha membunuh kerjaya politiknya.