Kerjasama dengan Umno bukan mahu kejar kuasa, kata ketua ulama PAS

Antara perwakilan yang hadir pada Muktamar Ulama PAS Pusat ke-58 di Wisma Belia Indera Mahkota, hari ini.

KUANTAN: Keterbukaan PAS untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam politik bukan mahukan kuasa, kata Ketua Ulama PAS Pusat Mahfodz Mohamed.

Beliau berkata langkah diambil atas nama seperti “tahaluf”, “taawun” atau seumpamanya dengan penuh bermaruah dan berprinsip.

Malah katanya, taawun siyasi (kerjasama) yang terjalin antara PAS dan Umno disifatkan mimpi ngeri dan menggugat kedudukan parti Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Ulama PAS melihat keterbukaan PAS ini adalah bukti kematangan dalam politik demi untuk kesejahteraan rakyat dan kepentingan Islam.

“Keterbukaan PAS dalam politik ini bukan berkiblatkan kuasa, tetapi berpaksikan tauhid,” katanya menerusi ucapan dasar sempena Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat ke-58 di Wisma Belia Indera Mahkota, hari ini.

Mahfodz berkata kerjasama PAS dan Umno mampu mewujudkan kesatuan suara daripada kaum teras iaitu Melayu.

“Kita yakin kerjasama tersebut cukup penting sehingga PH melakukan pelbagai cara bagi memecahbelahkan perpaduan tersebut.

“Sebenarnya pertembungan sesama pembangkang merugikan umat Islam. Sebab itulah taawun PAS, Umno dan parti lain serta NGO boleh mewujudkan kembali kekuatan suara Melayu dan Islam di negara ini,” katanya.

Mahfodz berkata, penyatuan orang Melayu yang membentuk 65% kekuatan boleh mengembalikan suara Islam di negara ini.

Katanya, kerjasama itu terbukti berjaya dalam beberapa PRK baru-baru ini.

Tangani doktrin liberalisme

Doktrin liberalisme dan pluralisme perlu ditangani agar masyarakat dapat diselamatkan daripada agenda penghapusan sistem hidup berpandukan agama.

Katanya, kini ancaman liberalisme dilihat tidak menghapuskan sumber agama, namun ia secara halus akan membebaskan manusia dari terikat dengan tuntutan agama.

“Akhirnya walaupun umat Uslam membaca Al-Quran namun kefahaman terhadap Al-Quran adalah berteraskan citarasa nafsu, bukan menerusi bimbingan perbincangan para ulama.

“Di sinilah terletak peranan ulama di mana PAS amat bertegas menjadikan ulama sebagai identiti pemimpin ummah agar sentiasa terikat dengan panduan wahyu Illahi.

“Dalam perkara yang memerlukan ketegasan, maka para ulama akan bertegas supaya umat dapat diselamatkan daripada jalan yang menyeleweng,” katanya.