KKM: Tiada kes baru wabak demam campak di Kuala Koh

Dzulkefly Ahmad berkata kes kematian yang dilaporkan kepada KKM kekal 3 orang.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan tiada kes baru jangkitan wabak demam campak di penempatan Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang yang berakhir setakat 18 Jun lalu.

Menterinya, Dzulkefly Ahmad berkata kementerian itu dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan tidak mengesan kes baru melibatkan jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan Orang Asli suku Bateq di sana.

“Sehingga 18 Jun 2019, tiada ke kematian baru dan kes kematian yang dilaporkan kepada KKM kekal 3 orang,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Beliau juga berkata, tiada kes baru disyaki demam campak dilaporkan dalam komuniti Orang Asli di Kampung Gerdang, Hulu Terengganu dan Kampung Ulu Sat, Jerantung, Pahang.

“Kalau kita faham, kampung-kampung ini merupakan laluan pindah kaum suku Bateq,” katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly menyebut penularan jangkitan demam campak dalam komuniti itu berpunca daripada liputan imunisasi yang rendah iaitu hanya 61.5% bagi suntikan dos pertama dan sebanyak 30% pada suntikan dos ke-2.

Beliau juga dilaporkan berkata wabak itu mudah merebak dengan 1 kes boleh menyebabkan jangkitan kepada 12 hingga 18 orang.

Berikutan itu, beliau mengarahkan tindakan pencegahan dan kawalan wabak termasuk carian kes secara aktif di perkampungan Orang Asli terbabit serta perkampungan sekitar berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata sebagai langkah mengatasi kepada wabak tersebut, kementerian dengan bantuan pejabat kesihatan daerah akan merancang aktiviti imunisasi kepada komuniti berkenaan dan lokasi berhampiran.

“Operasi meliputi semua peringkat umur dan jantina penduduk kerana liputan imunisasi demam campak kurang dari 95% dan kes dalam wabak ini meliputi semua peringkat umur serta cara hidup mereka yang berpindah randah,” katanya.

Media dimaklumkan, sehingga 18 Jun lalu, seramai 53 kes masih dirawat di hospital iaitu 51 kes di wad biasa dan 2 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ditanya, bilakah keputusan bedah siasat ke atas 12 mayat yang digali semula dijangka akan diketahui, Dzulkefly berkata, punca kematian mangsa akan diketahui dalam masa terdekat.

“Sampel dihantar ke makmal dan sedang dijalankan ujian bagi mengetahui punca kematian sebenar,” katanya.

Terdahulu, pihak polis dengan bantuan tok batin komuniti itu menggali semula semua kubur tidak bertanda mayat mangsa untuk dibedah siasat.

Cabaran KKM dalam proses imunisasi

Dzulkefly berkata kesedaran imunisasi dalam komuniti Orang Asli sentiasa menjadi cabaran di kementeriannya.

Katanya, ini disebabkan gaya hidup komuniti itu yang sering berpindah randah yang menyukarkan petugas untuk menemui mereka.

“Ianya sentiasa menjadi tugas dan cabaran kepada kami. Untuk perkara ini, cabarannya di mana sahaja mereka berada, kita akan pastikan pegawai-pegawai kita dapat ‘reach’ mereka,” katanya mengulas mengenai strategi KKM untuk meningkatkan peratusan penerima vaksin dalam kalangan Orang Asli.

Beliau berkata, strategi itu akan dibantu pegawai khas melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kesihatan Negeri dan pegawai kementeriannya.