MH17: Komen Dr M ‘semai kekeliruan’, kata PM Belanda

Mark Rutte. (Gambar Reuters)

BRUSSELS: Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte hari ini membidas Dr Mahathir Mohamad kerana mewujudkan “kekeliruan” dengan mengkritik keputusan mendakwa 4 orang atas penembakan pesawat Malaysia Airlines, MH17.

Terdahulu, perdana menteri Malaysia itu berkata langkah penyiasat yang diketuai Belanda untuk mendakwa 3 wargs Rusia dan seorang warga Ukraine kerana membunuh “tidak masuk akal” dan “bermotif politik” terhadap Moscow.

“Saya boleh bayangkan ahli keluarga mangsa mesti sangat kecewa dan ia menyemai kekeliruan,” kata Rutte kepada pemberita menjelang Sidang Kemuncak Kesatuan Eropah di Brussells, apabila ditanya mengenai kenyataan Mahathir.

Rutte berkata Kementerian Luar Negeri Belanda akan menghubungi kerajaan Malaysia mengenai komen-komen Mahathir, dan dia mahu “menunggu hasilnya sebelum mengulas lanjut”.

Beoing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak dengan peluru berpandu di timur Ukraine yang dikuasak pemberontak yang disokong Rusia pada 17 Julai 2014.

Semua 298 orang terbunuh, 196 daripada mereka warga Belanda.

Malaysia sebahagian daripada pasukan siasatan bersama yang diketuai Belanda, bersama Australia, Belgium dan Ukraine, untuk mengenal pasti dan mendakwa orang yang bertanggung jawab menembak pesawat itu.

Pasukan itu pada Rabu mengumumkan perbicaraan 4 suspek yang ada kaitan dengan pemisah Ukraine akan bermula pada Mac 2020.

Tetapi Mahathir berkata dakwaan-dakwaan itu “tidak masuk akal”.

Beliau semalam berkata kerajaan sangat tidak gembira kerana dari awal ia dijadikan isu politik tentang bagaimana untuk menuduh Rusia melakukan perkara salah.

“Bagi kami, kami mahu bukti bersalah. Tetapi setakat ini tiada bukti, hanya khabar angin.”

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan sebelum itu berkata ia “menghargai” pengumuman oleh pasukan penyiasatan yang diketuai Belanda itu.