Nama anggota pasukan siasat laporan kehilangan paksa Suhakam diumum minggu depan

SERI KEMBANGAN: Nama anggota pasukan petugas khas bagi menyiasat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkenaan kehilangan paksa aktivis Perlis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh akan diumumkan minggu depan, kata Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata pasukan itu diberi tempoh 6 bulan untuk menyiapkan laporan mengenai kehilangan 2 individu berkenaan yang akan diserahkan kepada jemaah menteri.

Ditemui pemberita di majlis Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri hari ini, Muhyiddin berkata kes pertama yang akan ditangani pasukan itu adalah kehilangan Amri.

Mengenai ciri-ciri orang-orang yang dilantik ke pasukan itu, Muhyiddin berkata: “Mereka mestilah orang yang neutral, supaya di kemudian hari tidak dikatakan hasil laporan itu berat sebelah atau hendak melindungi sesuatu.”

Sebelum ini, Muhyiddin dilapor berkata 6 atau 7 orang akan menganggotai pasukan itu.

Terdahulu, panel inkuiri Suhakam berkata, polis Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab ke atas kehilangan Koh yang dilihat diculik beberapa lelaki pada Februari 2017.

Ini selepas Suhakam menyalahkan unit sama atas kehilangan Amri pada lewat 2016.

Bekas menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau pernah mengarahkan Bukit Aman menahan Amri dan Koh.

Bahkan, ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar juga menolak dakwaan polis terbabit dalam penculikan Koh.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan sehingga kini pihaknya masih tidak boleh mendedahkan nama-nama individu dan badan yang akan terlibat serta menganggotai pasukan petugas khas itu.

“Sebab itu kita ambik sedikit masa untuk umumkan, saya sudah nampak nama, saya akan umumkan dalam masa terdekat, tapi tidak boleh disebut di sini.

“Saya akan rujuk nama-nama yang dicadang atau badan-badan yang bersetuju dan kita sudah sediakan terma rujukan apa yang harus dilakukan berdasarkan laporan berkenaan,” katanya.

Jelas Muhyiddin, kes membabitkan kehilangan Amri akan dibincangkan terlebih dahulu oleh pasukan petugas khas itu, memandangkan berdasarkan semakannya, kes berkaitan Koh ada dibawa ke mahkamah.

“Ada sedikit perkara yang kita ambil perhatian kerana kes Koh itu ada di mahkamah. Hal ini kerana bila berlaku di awalnya ada seorang yang dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

“Kes Amri akan didahulukan hingga selesai dan kalau mahkamah buat keputusan barulah kita teruskan pula kedudukan Koh,” katanya.

Koh diculik di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, ketika memandu kereta ke rumah rakannya di Kelana Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lebih 10 lelaki bertopeng menggunakan 7 kenderaan menahan kereta Koh.

Polis menafikan bertanggungjawab ke atas kehilangan itu, tetapi menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang kemudian didakwa atas kesalahan menculik Koh.

Terdapat pihak berpendapat penculikan Koh mungkin ada kaitan dengan dakwaan beliau cuba menyebarkan agama Kristian dalam kalangan penganut Islam, walaupun keluarganya menolak dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Amri dikatakan menjadi sasaran atas dakwaan kecenderungannya terhadap ajaran Syiah yang dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Isteri Amri dilaporkan berkata, 5 kenderaan menyekat kereta suaminya sebelum dibawa pergi kira-kira 500m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.