PAS Perlis terus tegur pimpinan parti jemput orang kuat Asri ke muktamar

Perwakilan Pemuda PAS di muktamar sayap itu di Bukit Gambang Resort, Kuantan, hari ini.

KUANTAN: Seorang pemimpin Pemuda PAS sekali lagi mempersoalkan tindakan parti menjemput seorang anak murid Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin ke majlis perasmian muktamar sayap itu semalam.

Mohamad Azreen Jumri, wakil Pemuda PAS Perlis, menyifatkan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, yang merupakan antara orang kuat Asri di negeri itu, sebagai individu yang menfitnah parti Islam itu.

“Kami terkejut semalam apabila Zamri diberi peluang untuk bercakap. Kami anggap ini satu perkara yang tak sepatutnya berlaku.

“Kami tak ada masalah dari sudut apa yang dia cakap, tapi sikap itu yang menyebabkan kami terkilan. Mungkin bagi pimpinan tak ada masalah, tapi menjadi masalah khususnya bagi kami di Perlis,” kata Azreen, yang juga setiausaha PAS Perlis, ketika membahaskan ucaptama ketua Pemuda PAS di sini.

Menurutnya, Vinoth sebelum ini menuduh PAS Perlis sebagai dalang kepada isu pemecatan beberapa imam masjid di negeri itu.

“Kami juga difitnah sebagai dalang pemberontakan kepada raja. Ini yang menjadikan kami terkilan dengan ucapan yang diberikan oleh Zamri,” katanya.

Zamri dalam ucapannya semalam menyatakan solidaritinya kepada pendakwah India, Dr Zakir Naik.

Naik sebelum ini dilihat akrab dengan Asri, yang berulang kali mempertahankannya di sebalik tuduhan beliau cuba melakukan provokasi agama di Malaysia.

Susulan ucapan Zamri, pengarah Jabatan Amal PAS Perlis, Amirul Jufri Mat Saman, bangun membantah keputusan menjemput Vinoth, sambil memberi amaran untuk berhati-hati dengan Asri.

“Hangpa tak kenal lagi siapa Maza (Mohd Asri), hangpa tak kenal lagi siapa Zamri Vinoth,” katanya.