Pasaran modal Malaysia kini cecah RM3.19 trilion, kata Suruhanjaya Sekuriti

Untuk Malaysia mengatasi cabaran struktural dan berjaya lebih jauh, pembangunan pasaran modal perlu menjadi tanggungjawab bersama SC dengan sektor swasta.

KUALA LUMPUR: Inisiatif diambil oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyebabkan pasaran modal negara berkembang kepada RM3.19 trilion pada akhir April 2019.

Pengerusinya, Syed Zaid Albar berkata, pembentukan modal itu terhasil daripada kemampuan syarikat perniagaan memperoleh pembiayaan jangka panjang melalui pasaran ekuiti, bon dan sukuk.

Malaysia kini merupakan peneraju dunia bagi pasaran modal Islam.

Bagaimanapun katanya, untuk negara mengatasi cabaran struktural dan berjaya lebih jauh, pembangunan pasaran modal perlu menjadi tanggungjawab bersama SC dengan sektor swasta.

Beliau bercakap pada majlis pelancaran laporan bertajuk “The Evolving Business of Asset Management” oleh Institut Penyelidikan Pasaran Modal Malaysia (ICMR) dan Institut Penyelidikan Pasaran Modal Nomura di sini, hari ini.

Laporan itu menyebut, walaupun industri pengurusan aset Malaysia berkembang pesat dalam dekad lepas, wujud tanda kelembapan berikutan peralihan asasi yang berlaku dan dijangka akan mengubah landskap perniagaan bagi pengurus aset pada masa depan.

Sepanjang 20 tahun lepas, industri pengurusan aset mencatatkan pertumbuhan besar dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 16%.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Syed Zaid Albar.

Syed Zaid berkata, “data sejak 5 tahun lepas membayangkan ia berkemungkinan mencapai titik fleksi dengan tanda-tanda yang menjurus kepada pertumbuhan lebih perlahan pada masa akan datang”.

Pelabur dan pemain industri juga menyuarakan kebimbangan mengenai jangkaan pertumbuhan berikutan kelemahan dalam pasaran, kata beliau.

Katanya, laporan itu mencatatkan bahawa industri perlu menerima peralihan asasi yang berlaku yang mengubah rupa bentuk pengurusan aset itu sendiri.

Peralihan tersebut termasuklah perubahan trend demografi dan keutamaan pelabur, pendigitian, kesediaan bakat kemahiran berkaitan, selain struktur dan peraturan pasaran.

“Dengan mengetengahkan isu dan cabaran ini, laporan hari ini membantu menjelaskan bidang yang perlu ditangani dengan segera oleh pembuat dasar dan juga sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata, SC akan mengkaji semula cadangan yang dikemukakan oleh laporan berkenaan dan melaksanakan langkah pembaikan yang perlu.

Pada masa sama, beliau berharap sektor swasta akan secara “proaktif berusaha memperkayakan strategi mereka dengan wawasan yang terkandung dalam laporan tersebut”.

Sementara itu, pengarah ICMR, Azleen Osman rani berkata, industri pengurusan aset memerlukan nafas baru susulan landskap ekonomi dan kewangan yang cepat berubah.

“Laporan ini membantu kita menaksir potensi jangka panjang industri pengurusan aset di Malaysia dan langkah yang perlu diambil bagi memastikan kemapanannya pada masa depan.

Ini penting kerana pengurusan aset akan kekal memainkan peranan perantaraan teras bagi keseluruhan ekonomi,” kata Azleen.