Pemuda PAS mohon maaf jemput Zamri Vinoth berucap di muktamar

Pengarah Panitia Muktamar Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamuddin.

KUANTAN: Pemuda PAS Malaysia memohon maaf kepada Pemuda dan PAS Perlis susulan pihak muktamar menjemput penceramah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berucap di pentas sayap itu semalam.

Permohonan maaf itu dibuat Pengarah Panitia Muktamar Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamuddin sambil memaklumkan pihaknya tidak mendapat maklumat bahawa PAS Perlis mempunyai isu dengan Zamri.

“Apabila beliau (Zamri) hadir ada permintaan kawan-kawan apa salahnya beliau berucap. Pemuda PAS jemput atas kapasiti beliau sebagai protege Zakir Naik sebab kita nak nyatakan sokongan kepada Zakir Naik.

“Jadi kita beri beliau berucap petang semalam kerana itu waktu sesuai, tanpa kita mengetahui ada isu antara beliau dengan Pemuda PAS Perlis dan PAS Perlis sendiri, kita tidak tahu, saya sendiri tidak ada maklumat terperinci.

“Kami juga ada kesilapan tidak menyemak terlebih dahulu tentang perkara tersebut, jadi atas perkara ini menimbulkan rasa tidak senang sahabat dari Perlis, maka Dewan Pemuda PAS memohon maaf khusus kepada pemuda PAS Perlis di atas kekhilafan itu,” katanya yang juga naib pemuda PAS ketika ucapan penggulungan Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-60.

Terdahulu pemimpin Pemuda PAS mempersoalkan tindakan parti menjemput Zamri yang juga seorang anak murid Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin ke majlis perasmian muktamar sayap itu semalam.

Mohamad Azreen Jumri, wakil Pemuda PAS Perlis, menyifatkan Zamri sebagai individu yang menfitnah parti Islam itu.

Menurutnya, Vinoth sebelum ini menuduh PAS Perlis sebagai dalang kepada isu pemecatan beberapa imam masjid di negeri itu.

“Kami juga difitnah sebagai dalang pemberontakan kepada raja. Ini yang menjadikan kami terkilan dengan ucapan yang diberikan oleh Zamri,” katanya.